KUALA LUMPUR – Kerajaan masih mempunyai ruang kewangan yang mencukupi untuk menghadapi keadaan wabak COVID-19, walaupun jika situasi bertambah teruk.
Walau bagaimanapun, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, gelombang ketiga wabak masih terhad kepada beberapa kawasan dan belum memberi kesan kepada keadaan ekonomi negara.
Beliau berkata, kerajaan justeru tidak akan menyelaraskan ramalan kadar pertumbuhan ekonomi pada tahun ini dan tahun depan serta jangkaan beberapa data ekonomi lain.
“Jika anda meneliti keadaan wabak, ia tertumpu kepada beberapa kawasan, termasuk penjara di Kedah, Sabah dan Klang di Selangor.
“Jangkitan di penjara menyumbang 60 peratus kes yang ada,” katanya dalam wawancara secara dalam talian dengan Nanyang Siang Pau.
Tengku Zafrul berkata, peningkatan kes jangkitan adalah didorong oleh pertambahan pemeriksaan di penjara.
Beliau berkata, selepas ujian di penjara selesai dan keadaan wabak di luar penjara terkawal, kes jangkitan akan mengalami penurunan.
“Buat masa ini tidak perlu mengubah mana-mana data ekonomi dan ekonomi masih mengalami peningkatan.
“Kami masih mengekalkan jangkaan sedia ada untuk tahun ini dan tahun depan” katanya.
Bank Negara sebelum ini menjangkakan ekonomi negara akan menyusut antara 3.5 hingga 5.5 peratus tahun ini, tetapi akan mengalami pertumbuhan antara 5.5 hingga 8 peratus pada tahun depan.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul memberitahu Nanyang Siang Pau, hutang negara berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka mencecah 56 peratus.
Jelasnya, keadaan itu bermakna kerajaan masih mempunyai ruang sebanyak empat peratus berbanding had siling 60 peratus.
Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan perlu meminjam lagi jika mahu menggunakan ruang kewangan empat peratus tersebut dan keputusannya bergantung kepada kemampuan negara untuk melakukan pinjaman.
“Kami sebenarnya boleh dan berkemampuan untuk menggunakan ruang kewangan ini, tetapi saya tidak melihat ia sebagai tindakan bijak terutamanya semasa kerajaan menjangkakan keadaan ekonomi bertambah baik pada tahun depan.
“Satu peratus hutang negara berbanding KDNK adalah sama dengan perbelanjaan kewangan sebanyak RM15 bilion.
“Ini satu jumlah yang besar. Kalau kami mahu membelanjakan jumlah ini, adalah perlu dipastikan ia betul-betul dapat membantu rakyat dan memastikan perbelanjaannya akan mengalir semula ke dalam ekonomi negara dan merangsang pertumbuhan,” katanya.
Tengku Zafrul menegaskan kepentingan merangsang ekonomi dan mengurangkan pinjaman kerajaan apabila keadaan ekonomi bertambah cerah. – MalaysiaGazette