Home Nasional PKPD di dua lokaliti di Lahad Datu

PKPD di dua lokaliti di Lahad Datu

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikuatkuasakan di Taman Khazanah Indah dan PPR Mutiara Kasih dekat Lahad Datu pada 13 Oktober hingga 26 Oktober ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, susulan itu, seramai 5,452 orang penduduk di kawasan tersebut tidak dibenarkan keluar daripada rumah masing-masing.

Semua laluan keluar masuk ke kawasan berkenaan juga akan ditutup.

“Bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian, mereka dibenarkan untuk keluar zon tetapi perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada PDRM.

“Bekalan keperluan makanan akan diagihkan oleh Kerajaan negeri yang akan dikoordinasi Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri,” katanya semasa sidang media yang disiarkan menerusi Facebook hari ini.

Tambah Ismail Sabri, Kementerian Kesihatan Malaysia akan melakukan saringan secara bersasar kepada semua penduduk terlibat.

Bagi memastikan pematuhan perintah tersebut, PDRM, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), pihak berkuasa tempatan dan pegawai yang diberi kuasa akan mengawal seluruh kawasan terlibat.

Maklumat lanjut dan SOP berkaitan boleh dirujuk di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara.- MalaysiaGazette