KUALA LUMPUR – Sophia Liana bukanlah suatu nama asing dalam persada seni Malaysia kerana penyanyi rap wanita yang mesra disapa sebagai Sophia mula bertapak dalam industri muzik Malaysia sejak tahun 2015 menerusi debutnya sebagai salah seorang anggota kumpulan wanita terkenal, De Fam.
Seorang anak seni yang mempunyai kekuatan dan hala tuju muziknya tersendiri, Sophia mula bergerak sendiri sebagai penyanyi solo dan pernah berkolaborasi dengan beberapa artis tempatan sejak tahun 2018.
Sejak menjuarai program Dansa Dan Sing (DDS) terbitan Astro pada Januari lalu, Sophia berjaya membina jenamanya sendiri.
Usai mempamerkan bakat nyanyian dan tariannya di pentas DDS, Sophia muncul pula dengan single debut solonya berjudul Ngam yang dilancarkan pada Mac lalu.
Ngam dihasilkan untuk projek khas Joox Originals yang dibawakan platform penstriman muzik serantau Joox.
Video rasmi itu turut menampilkan kru tariannya dalam DDS iaitu Budak Ngam yang berjaya mencapai hampir 600,000 tontonan sejak dimuat naik pada Julai lalu.
Tidak hanya berbakat dalam rap, menyanyi dan menari, Sophia juga berkemampuan menulis lagunya sendiri. Sejak single pertama De Fam iaitu Supergirls, Sophia sudah mula menulis bait-bait liriknya sendiri.
Namun sejak tahun-tahun kebelakangan ini, Sophia mula menggilap bakatnya dalam penciptaan lagu pula. Bersama adiknya Fadzril Asyraf, Sophia pernah menghasilkan beberapa lagu freestyle rap seperti Assalamualaikum pada 2018 dan Mulut (2018) yang dikongsikan di saluran YouTube miliknya.
Malah Sophia dan adiknya juga pernah menghasilkan lagu #pastiCLEAR sebagai lagu kempen pengiklanan rangkaian produk syampu CLEAR.
Terbaharu, lagu Ngam yang dilancarkan pada Mac lalu juga telah dihasilkan pasangan komposer adik beradik ini bersama komposer-komposer tersohor Faizal Tahir, Mambang dan Navigator.
Bagi mengukuhkan lagi namanya sebagai penyanyi solo dan mempamerkan lagi bakatnya sebagai pencipta lagu, Sophia kini muncul dengan single terbaharunya berjudul Dulu yang dicipta sepenuhnya oleh Sophia dan Fadzril Asyraf.
Lagu yang dipersembahkan secara sing rap ini cuba membawa pendengar memahami pengalaman masa lalu dan menerima apa yang terjadi dengan hati yang terbuka.
Dulu membawa mesej tentang pentingnya mencintai diri sendiri dan mengutamakan sahsiah diri dengan melepaskan masa lalu untuk terus bergerak maju ke hadapan.
Mengulas tentang single terbaharunya, Sophia berkata, menerusi Dulu dia cuba menampilkan sesuatu yang berbeza dari apa yang pernah saya lakukan sebelum ini.
Jelasnya, bukan sahaja penyampaian yang berbeza malah ia juga lebih bersifat peribadi dalam menceritakan tentang perasaan saya dulu dan sekarang.
“Lagu ini diinspirasikan dari situasi pahit yang pernah saya lalui suatu masa dahulu. Apa yang saya cuba sampaikan dalam lagu ini adalah untuk maju terus ke depan, berhenti menoleh ke belakang. To move on is to let go of the past.
“Saya berharap lagu Dulu ini mendapat sambutan positif pendengar dan mesej yang cuba disampaikan dalam lagu ini boleh membantu seseorang itu memahami bahawa perjalanan hidup mereka waktu dulu itu sudah pun berlalu. Yang penting adalah hidup mereka hari ini dan hari-hari mendatang,” jelas Sophia lagi.
Lagu terbitan bersama Sophia Liana, Lion Music Group dan Universal Music Malaysia ini boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX, iTunes, KKBox dan juga Deezer. – MalaysiaGazette