Home Seni Hidup TNB serah 5 van jenazah kepada masjid, surau

TNB serah 5 van jenazah kepada masjid, surau

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (tengah) menyerahkan dokumen hak milk van kepada Pengerusi Masjid Taman Temerloh Jaya, Dr Abdullah Ismail (paling kanan) sambil disaksikan Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman (paling kiri) pada majlis penyerahan di Kompleks Balai Islam An-Nur, Ibu Pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Bangsar semalam.-Gambar TNB.

KUALA LUMPUR –  Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyerahkan sumbangan lima van jenazah kepada masjid dan surau terpilih di Semenanjung bernilai hampir RM123,000 tahun ini bagi memenuhi tanggungjawab sosial syarikat itu kepada masyarakat.

Sumbangan itu adalah manifestasi keprihatinan syarikat utiliti tersebut untuk memudahkan urusan pengurusan jenazah masyarakat Islam di kawasan-kawasan yang memerlukan, selaras dengan amalan nilai-nilai teras syarikat.

Sejak 2016, TNB telah membelanjakan hampir RM2.6 juta untuk membaik pulih dan mengubahsuai 48 van, lori dan kenderaan pacuan empat roda (4WD) untuk disumbangkan kepada masjid dan surau, serta pertubuhan bukan kerajaan yang memerlukan.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, TNB tidak lekang untuk berkongsi kemakmuran dengan masyarakat sebagai tanda kesyukuran terhadap nikmat yang diperolehi.

“Melalui usaha-usaha tanggunjawab sosial yang meliputi pendidikan, pembangunan sosio-ekonomi dan kelestarian alam sekitar, TNB terus membina jambatan silaturrahim dengan masyarakat menerusi sumbangan hari ini.

“Diharapkan dengan adanya van jenazah ini, ia dapat membantu melancarkan pengurusan jenazah dan memupuk semangat kerjasama masyarakat yang menerima manfaatnya.”

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian van kepada lima wakil masjid dan surau di Kompleks Balai Islam An-Nur, Ibu Pejabat TNB Bangsar semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman dan Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd merangkap Presiden Persatuan Kebajikan Pekerja Islam TNB, Datuk Nor Azman Mufti.

Lima surau dan masjid yang menerima sumbangan van jenazah tersebut ialah Masjid Ar-Rahman di Gua Musang, Kelantan; Masjid Taman Temerloh Jaya, Temerloh, Pahang; Pertubuhan Khairat Kematian Kampung Ganda, Gerik dan Surau Nurul Iman Fasa 3, Seri Manjung, Perak; dan Surau At-Taqwa, Taman Kota Cheras, Kuala Lumpur.

Tahun ini, TNB menerima 50 permohonan untuk mendapatkan bantuan van jenazah, namun hanya lima dipilih berdasarkan keperluan masjid atau surau tersebut.

Pengerusi Masjid Taman Temerloh Jaya, Dr Abdullah Ismail mengucapkan ribuan terima kasih kepada TNB di atas sumbangan yang amat bermakna itu.

“Sumbangan ini bakal merapatkan ukhwah antara ahli kariah masjid kami dan juga kawasan berdekatan kerana usaha menjaga kebajikan mereka dapat diteruskan, terutamanya urusan mereka selepas meninggal dunia. Terima kasih TNB,” katanya.

Kesemua kenderaan yang disumbangkan adalah milik TNB yang telah dibaik pulih dan diubah suai mengikut keperluan dan ini secara tidak langsung memanjangkan hayat kegunaan van tersebut agar bermanfaat kepada masyarakat.- MalaysiaGazette