Home Nasional UUM ditutup lagi sehingga Khamis ini

UUM ditutup lagi sehingga Khamis ini

KUALA LUMPUR – Penutupan kampus induk Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok sejak 5 Oktober lalu akan diteruskan hingga Khamis ini.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, kakitangan UUM akan terus bekerja dari rumah kecuali mereka yang terbabit dalam perkhidmatan perlu dan mendapat kebenaran Pendaftar.

Namun sehingga ini belum ada kakitangan UUM yang dikesan positif Covid-19.

“Sepanjang tempoh penutupan UUM, sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) dilaksanakan secara dalam talian bermula esok dan segala aktiviti atau mesyuarat secara bersemuka perlu ditangguhkan serta dijalankan secara atas talian hingga keadaan kembali terkawal.

“Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) yang tinggal di sebuah Inapan Siswa (INASIS) juga sudah disaring dan dipindahkan untuk dikuarantin di luar kampus utama.

“INASIS itu ditutup serta merta dan dikawal 24 jam apabila isu ini timbul dan semua penghuni kini terasing daripada orang ramai. Pelajar yang berada di dalam kampus tidak dibenarkan keluar melainkan dengan kebenaran Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ahmad Bashawir, sejak arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kesihatan semua kakitangan dan pelajar dipantau menerusi aplikasi COVID-19 Daily Self Assessment (CODSA). – MalaysiaGazette