Home Utama Covid-19: 563 kes baharu, Sabah masih catat jumlah tertinggi

Covid-19: 563 kes baharu, Sabah masih catat jumlah tertinggi

Dr. Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 563 kes baharu dilaporkan hari ini dengan Sabah masih lagi menjadi negeri yang mencatatkan jumlah tertinggi positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 291 kes adalah dari Sabah manakala Pulau Pinang mencatat lonjakan jumlah kes positif iaitu sebanyak 141 kes.

Bagaimanapun katanya, kesemua kes tersebut adalah daripada Kluster Penjara Reman di mana semua kes itu sememangnya terasing daripada masyarakat iaitu di dalam penjara.

“Ingin dimaklumkan daripada 563 kes baharu yang dilaporkan, terdapat satu kes import yang telah mendapat jangkitan dari luar negara iaitu Indonesia dilaporkan di Kuala Lumpur yang melibatkan warganegara Malaysia.

“Daripada 562 kes penularan di dalam negara, 498 kes adalah warganegara Malaysia dan 64 kes adalah bukan warganegara.

“Daripada 562 kes penularan di dalam negara, 10 kes pula merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah sekaligus menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September lalu sebanyak 363 kes,” katanya menerusi sidang media hari ini.

Menurut Noor Hisham lagi, sebanyak 109 kes telah pulih dari wabak tersebut menjadikan jumlah yang telah discaj dan dibenar keluar dari wad iaitu 11,022 atau 67.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Berdasarkan maklumat Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC), beliau berkata, terdapat pertambahan dua kes kematian berkaitan Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat wabak itu di Malaysia adalah sebanyak 159 kes atau 1.0 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ujarnya, sehingga kini, terdapat 98 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi di mana 29 kes memerlukan bantuan pernafasan. – MalaysiaGazette

+ posts