Home Pendapat Covid-19: Berusaha kekalkan kestabilan emosi

Covid-19: Berusaha kekalkan kestabilan emosi

Gambar hiasan

PENULARAN wabak Covid-19 semakin hari semakin membimbangkan. Negara kita masih
berperang bagi mengekang penularan wabak ini yang telah mewujudkan perubahan ketara dari segi norma budaya kehidupan baik di tempat kerja, mahupun kehidupan harian.

Bagi pekerja yang kehilangan punca pendapatan atau sedang menyesuaikan diri dengan
persekitaran kerja baharu, hal ini merupakan satu cabaran hebat buat mereka. Ibu bapa pula menyuarakan kebimbangan sejauh mana anak-anak mereka bebas sepenuhnya daripada ancaman virus Covid-19 sekalipun sekolah ada memperketatkan SOP.

Ada sesetengah pelajar di universiti yang dahulunya sudah serasi dengan kaedah
pembelajaran secara bersemuka masih meluahkan ketidakselesaan dengan transformasi
pembelajaran dalam talian sama ada melalui Webex, Google Meet, Zoom, Whatsapp atau
pelbagai aplikasi teknologi lain bagi melaksanakan pembelajaran norma baharu.

Hakikatnya, walaupun terdapat individu yang berjaya mengadaptasi suasana perubahan
tersebut tanpa mengalami gangguan emosi yang ketara, ada juga individu yang gagal
mengharunginya dengan baik sehingga terjejas kesihatan mental mereka.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menegaskan bahawa walaupun pandemik Covid-
19 dapat dikawal, namun kesedihan, kebimbangan dan kemurungan akan terus memberikan kesan kepada masyarakat. Justeru, kita perlu menitikberatkan tahap kesihatan mental tidak kira dalam apa jua situasi pun.

Berikut panduan mengekalkan kestabilan emosi yang boleh kita praktikan sebagai amalan hidup. Pertama, elak memendamkan sesuatu masalah. Kebanyakan kita bermasalah kerana mempunyai emosi yang masih belum diselesaikan (unfinished business). Kajian
menunjukkan bahawa masalah yang dipendam lama semakin menyukarkan jalan
penyelesaian dan paling membimbangkan berlaku kecenderungan gangguan kemurungan dan risiko bunuh diri.

Justeru, ambil inisiatif berkongsi masalah dengan orang yang boleh dipercayai seperti ahli
keluarga, teman rapat atau luahkannya kepada penolong profesional seperti kaunselor.
Sekurang-kurangnya kita boleh menarik nafas lega kerana ada insan yang sudi mendengar luahan masalah kita dan seterusnya membimbing kita mencari jalan penyelesaian.

Kedua, ketepikan pemikiran tidak suka menyusahkan orang lain seolah-olah kita mempunyai kuasa penyembuhan untuk menangani segala masalah secara keseorangan. Dalam tempoh pandemik ini terutamanya, sokongan sosial amat penting dan tidak semestinya hanya melalui pertemuan bersemuka, malah komunikasi alam maya amat digalakkan sama ada berhubung melalui telefon, sidang video ataupun e-mel.

Ketiga, elak cepat buat kesimpulan atau menerima sesuatu perkara bulat-bulat. Pelbagai
maklumat berkaitan wabak Covid-19 yang boleh dicapai dan diakses melalui internet secara mudah dan pantas, tetapi kadangkala menimbulkan kegusaran emosi apabila semakin kerap melayarinya. Oleh itu, selidik dan teliti dahulu maklumat yang diperoleh dan sebaik-baiknya, hadkan kekerapan melayari internet secara berlebihan.

Keempat, kikis sikap rigid terhadap sesuatu perkara. Situasi semasa pandemik ini hakikatnya menuntut kita melakukan pelbagai perubahan dalam kehidupan. Namun, ia sukar direalisasi sekiranya tiada anjakan paradigma dalam pemikiran. Bersikap fleksibel dan terbuka dalam menjalani norma kehidupan baharu. Bak kata pepatah, alah bisa, tegal biasa. Sesuatu perkara yang tidak biasa atau susah dilakukan akan terasa mudah atau selesa jika sering dilakukan.

Kelima, belajarlah menerima diri sendiri dan orang lain yang seadanya. Dalam kehidupan
harian, agak sukar untuk kita mengelakkan diri daripada individu toksik (toxic people) yang  cenderung menyakiti hati orang lain, tidak memberikan sokongan, mempunyai emosi tidak sihat atau mempunyai ciri negatif lain.

Walaupun ada kekurangan atau kelemahan tertentu yang sukar diterima, fikirkan tentu ada kelebihan atau keunikan pada individu tersebut yang boleh meredakan tekanan dialami. Realitinya, tiada insan yang benar-benar sempurna dalam semua aspek, termasuklah diri kita.

Keenam, elak menaruh harapan terlalu tinggi terhadap sesuatu perkara yang boleh
membuatkan kita berasa kecewa jika tidak memperolehnya. Menurut Albert Ellis, pelopor
terapi Rasional Emotif Tingkah laku, pemikiran tidak rasional yang menekankan penggunaan perkataan “mesti” atau “sepatutnya” yang bersifat mutlak boleh menyebabkan tekanan. Hakikatnya, apa yang kita inginkan dalam kehidupan tidak semestinya akan sentiasa kita peroleh.

Ketujuh, fokuskan pemikiran kita terhadap masa kini berbanding terlalu memikirkan hal
masa lepas yang sukar diubah atau kerap memikirkan sesuatu perkara pada masa hadapan yang belum tentu ada kepastian. Ada antara kita yang mungkin terpaksa membuat sesuatu keputusan penting semasa situasi pandemik ini. Setiap alternatif bagi penyelesaian masalah hendaklah dilihat secara rasional dan tidak sesekali dipengaruhi oleh emosi negatif.

Kelapan, elak memperbesar-besar sesuatu isu yang berlaku. Apa-apa perkara negatif yang berlaku semasa pandemik Covid-19 ini sewajarnya tidak dilihat secara ekstrem, iaitu
menganggapnya melebihi daripada 100 peratus teruk. Ada hikmah di sebalik apa yang
berlaku, misalnya kita semakin peka terhadap penjagaan kesihatan dan kebersihan serta
bersikap prihatin dan ambil berat sesama insan.

Walau bagaimanapun, hal ini bukanlah bermakna kita benar-benar sudah berada dalam zon selesa. Marilah kita sama-sama berusaha memutuskan rantaian Covid-19 ini yang masih belum ada titik noktahnya dengan tidak menuding jari menyalahkan sesiapa. Teruskan amalan pendekatan 3W (Wash, Wear dan Warn) dan elakkan 3C (Crowded places, Confined spaces dan Close conversation) yang disarankan oleh KKM sebagai kebiasaan baharu dalam kehidupan harian.

Oleh: Prof. Madya Dr. Mastura Mahfar, Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru