WASHINGTON – Pakar jangkitan virus Amerika Syarikat, Dr Anthony Fauci tidak setuju kenyataanya dijadikan iklan kempen pilihan raya oleh Presiden Donald Trump.
Malah, beliau menyifatkan kenyataan itu di luar konteks sebenar.
Dalam iklan yang disiarkan pada minggu lalu, ia menyatakan usaha Trump yang kembali pulih daripada koronavirus, selain tindakan pentadbiran untuk membendung pandemik.
Iklan 30 saat itu telah menggunakan kenyataan-kenyataan lama oleh Fauci yang secara tidak langsung memuji Trump.
“Saya tidak dapat membayangkan bahawa ada orang yang boleh melakukan lebih banyak perkara,” sedutan iklan tersebut yang memetik kenyataan Fauci.
Dakwa Fauci, apa yang disebutnya itu adalah daripada wawancara pada bulan Mac lalu, yang mana beliau selaku Pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Nasional (NIAID) sejak tahun 1984, membincangkan usaha besar, termasuk petugas khas koronavirus oleh White House.
”Hampir lima dekat berkhidmat dalam perkhidmatan awam, saya tidak pernah secara terbuka menyokong calon politik mana-mana pun.
“Komen yang dibuat oleh saya digunakan tanpa izin saya dalam iklan kempen GOP diambil di luar konteks daripada kenyataan sebenar yang saya buat beberapa bulan yang lalu mengenai usaha pegawai kesihatan awam persekutuan,” kata Fauci dalam satu kenyataan.
Jurucakap kempen Trump, Tim Murtaugh mempertahankan iklan tersebut dalam satu kenyataan pada hari Ahad, dengan mengatakan kenyataan Fauci “tepat, dan dibuay oleh Fauci.
‘Seperti yang diterangkan Dr Fauci kepada Senat baru-baru ini, Presiden Trump memandang serius virus itu sejak awal, bertindak dengan cepat, dan menyelamatkan nyawa,” tambah Murtaugh.
Trump sendiri menyuarakan sentimen itu dalam ciapannya pada hari Ahad, dengan mengatakan: “Memang kata-kata Dr.Fauci sendiri. Kami telah melakukan pekerjaan ‘fenomenal’, menurut gabenor tertentu.
Fauci dan Trump selalunya tidak pernah sependapat dalam menangani pandemik Covid-19 yang telah menjangkiti 7.7 juta orang penduduk Amerika Syarikat dan mengorbankan 214,000 orang. – MalaysiaGazette