![121194423_4104652272881734_3861505944090383561_n](https://staging.malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2020/10/121194423_4104652272881734_3861505944090383561_n-e1602504204115-640x569.jpg)
KUALA LUMPUR – Gangguan bekalan elektrik melibatkan beberapa kawasan di Setapak pada jam 3 petang tadi berpunca daripada kerosakan kabel di Jalan Usahawan, Setapak di sini akibat kerja-kerja pengorekan oleh pihak ketiga.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata, gangguan itu memberi kesan kepada 5,000 pengguna termasuk di bangunan Kementerian Pertahanan Malaysia, Wisma Bernama, Menara Naza dan Menara Felda serta kawasan di sekitar Setapak, Wangsa Maju, Keramat, Jalan Tun Razak dan Jalan Kia Peng.
”Pihak TNB telah memulihkan bekalan secara berperingkat dan bekalan telah dipulihkan sepenuhnya pada jam 3.56 petang.
“Tindakan memperbaiki kabel yang rosak sedang giat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
TNB dalam masa yang sama menyeru pihak-pihak yang menjalankan kerja-kerja pengorekan agar merujuk terlebih dahulu kepada pihaknya bagi mendapatkan maklumat pemetaan dan khidmat nasihat.
Ini boleh mengurangkan kebarangkalian kejadian seumpamanya berulang.
Pada tahun ini, sebanyak 443 gangguan bekalan berlaku akibat kerja-kerja pengorekan pihak ketiga sehingga September 2020.
Manakala sepanjang tahun 2019, sebanyak 689 kes dilaporkan di Semenanjung yang menjejaskan 530,000 pengguna. – MalaysiaGazette