Home Nasional KKM tambah katil di hospital, pusat kuarantin di Sabah

KKM tambah katil di hospital, pusat kuarantin di Sabah

MGF04102020_SELCARE-UJIAN-SARINGAN09-1-640x426
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Negeri Sabah menyumbang jumlah kes tertinggi secara keseluruhan hari ini dengan sebanyak 291 kes positif Covid-19 atau iaitu 51.7 peratus, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, ia susulan aktiviti saringan yang dijalankan di lapangan terutama di pelbagai daerah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan PKPD secara pentadbiran.

“Sabah juga mencatatkan kes kematian sejak beberapa hari kebelakangan ini. Bagi menangani isu peningkatan bilangan kes dan kematian disebabkan oleh Covid-19 di Sabah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menambah kapasiti katil iaitu sebanyak 978 katil hospital serta 4,010 katil Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah.

“Kita turut membina hospital medan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Semporna, mempergiatkan pengesanan kontak rapat, mengasingkan kes positif Covid-19, memberi rawatan awal dan menambah jumlah ventilator serta pakar bius di Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya pada sidang media hari ini.

Noor Hisham berkata berkata, KKM turut menambah kapasiti makmal di seluruh Sabah selain bekerjasama dengan makmal swasta dan membawa sebanyak 2,223 sampel yang berlebihan ke makmal di Semenanjung Malaysia untuk diproses.

Selain itu, katanya, stok Peralatan Perlindungan Diri (PPE) di Sabah adalah dalam kesiapsiagaan, malah KKM akan memastikan pengagihan kepada pihak memerlukan dilakukan secepat mungkin.

“Berikutan terdapat petugas kesihatan dijangkiti Covid-19, kita menggerakkan petugas kesihatan secara dalaman dan dari negeri lain ke Sabah bagi menangani isu kekurangan petugas kesihatan di hospital setempat.

“KKM juga menyeru pembabitan badan bukan kerajaan (NGO) untuk tampil menghulurkan bantuan ke Sabah bagi membendung penularan Covid-19,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

6503f8fb4409ba01cefbb106717cf104?s=150&d=mp&r=g
+ posts