KUALA LUMPUR – Penjara Reman Pulau Pinang akan menguatkuasakan langkah-langkah pencegahan menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran berkuatkuasa hari ini sehingga tarikh diberitahu kelak.
Jabatan Penjara Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata, beberapa Prosedur Operasi Standard (SOP) langkah-langkah pencegahan penularan Covid-19 akan dikuatkuasakan rentetan pelaksanaan PKPD secara pentadbiran.
Sebagai langkah SOP pertama, larangan pergerakan fizikal masuk dan keluar dari Penjara Reman Pulau Pinang akan diperketatkan lagi.
“Kawalan keluar masuk bersyarat bagi anggota yang bekerja akan dilaksanakan, perjumpaan lawatan keluarga, peguam kedutaan, Badan Bukan Kerajaan dan pihak luar adalah tidak dibenarkan sama sekali,” kata kenyataan yang sama.
Tambah Jabatan Penjara itu, aktiviti-aktiviti seperti kursus, komuniti, sukan, riadah, majlis keraian di dalam kawasan penjara dan kuarters juga adalah dilarang sama sekali.
“Perlaksanaan ‘Total Lockdown akan dilaksanakan ke atas blok-blok penempatan banduan yang positif Covid-19.
“Semoga dengan penjelasan ini akan dapat memberi gambaran yang jelas kepada masyarakat mengenai kesepaduan usaha Jabatan dan KDN memerangi Covid-19 di Jabatan Penjara Malaysia,” jelas jabatan itu lagi.-MalaysiaGazette