KUALA LUMPUR – Mula menceburkan diri dalam bidang nyanyian sejak berusia enam tahun lagi, penyanyi Ratu Balqis tidak pernah berhenti mencari tapak untuk berdiri dalam persada seni.
Pemilik nama sebenar Nor Balqis Ahmad Tajudin atau lebih mesra disapa sebagai Balqis ini, pernah menjuarai Bintang kecil RTM 2010 peringkat zon Pantai Timur dan menduduki tempat ketiga dalam program Idola Kecil musim ketiga ketika berusia 11 tahun.
Percaya di atas bakatnya sendiri, Balqis tidak putus-putus menyertai pertandingan nyanyian di seluruh Malaysia.
Di usia remajanya, Balqis berjaya menempatkan dirinya sebagai finalis Idola kecil Ultra pada tahun 2014 dan kemudiannya menjadi protege penyanyi Hazama dalam program Mentor Milenia 2017 sehingga ke peringkat separuh akhir.
Setelah hampir 15 tahun mencari peluang mengetengahkan bakatnya, kini Ratu Balqis bakal muncul dengan single debutnya berjudul Buaya yang turut menampilkan gandingannya dengan penyanyi rap wanita, Mimifly.
Mengulas tentang pemilihan Mimifly sebagai rakan kolaborasinya, Balqis berkata, dia memilih untuk berkolaborasi dengan Mimifly dalam Buaya sebagai tanda penghargaan kepada Mimi yang bukan sahaja merupakan idola saya.
Namun Mimi juga dianggap gurunya selain Hazama, Genervie Kam dan Afif Tirmizie.
“Sebelum ini saya banyak menerima tunjuk ajar daripada Mimi Ketika program Mentor Milenia 2017 berlangsung.
“Sebagai guru aksi panggung, Mimi banyak mengajar saya tentang ‘stage present’ dan cara untuk memberikan persembahan lebih efektif di pentas,” katanya.
Bercakap tentang pengalaman masuk ke studio merakam karya sulungnya ini, Balqis berkata, gubahan lagu telah bermula sejak awal tahun ini dan demo pun sudah disiapkan ketika bulan Mac lalu.
Namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan, proses rakaman terpaksa ditangguhkan. Bulan Ogos baru dapat masuk studio untuk mulakan rakaman, dan rakaman siap sepenuhnya pada bulan September.
“Walaupun ada banyak aral melintang, saya bersyukur kerana lagu ini akhirnya siap dan akan dilancarkan tidak lama lagi.
“Akhirnya berpeluang masuk ke studio untuk merakam single pertama saya, sudah pasti ini merupakan pengalaman yang sangat manis buat saya di bawah pengurusan Adopt Entertainment,” katanya.
Sementara itu, Buaya merupakan ciptaan komposer Iqie Hugh dan Shaqiel Naufal. Manakala lirik merupakan hasil nukilan bersama Iqie Hugh, Shaqiel Naufal, Ratu Balqis dan Mimifly.
Lagu ini mengisahkan tentang kekuatan seorang wanita yang hidup dikelilingi lelaki yang hanya ingin mengambil kesempatan terhadap kaum wanita.
Cuba mengetengahkan karakter wanita yang kuat, berdikari, berkerjaya dan berkarisma di dalam mengharungi perjalanan hidup selepas dicurangi dan ditinggalkan, tidak hairanlah apabila lagu ini menjadi istimewa apabila menggandingkan dua penyanyi cantik yang berstatus janda.
Mengulas tentang mesej yang ingin disampaikan melalui lagu ini, Balqis menjelaskan, umum mengetahui bahawa gelaran lelaki kasanova berasal dari kisah seorang lelaki yang bernama Casanova yang suka memikat perempuan dan mempunyai banyak kekasih.
Manakala gelaran lelaki buaya pula berasal daripada peribahasa Melayu iaitu buaya darat yang merujuk kepada lelaki yang suka berfoya-foya dengan perempuan.
Namun ramai yang keliru dan merasakan lelaki kasanova dan lelaki buaya adalah karakter yang berbeza.
“Menerusi lagu Buaya, kami cuba membuktikan bahawa yang kasanova dan yang buaya itu adalah lelaki yang sama.”
“Saya ingin hadiahkan single pertama ini untuk semua terutama keluarga, rakan-rakan dan peminat saya yang tidak putus-putus memberikan semangat untuk saya bangkit dan terus berjuang di dalam industri muzik Malaysia.
“Saya mengharapkan yang single Buaya ini mendapat sambutan dan dapat diterima ramai,” jelas Balqis lagi dalam menyatakan kesyukuran dan harapannya terhadap karya sulungnya ini.
Lagu terbitan Adopt Entertainment dan edaran Universal Music Malaysia ini boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX, iTunes, KKBox dan juga Deezer. – MalaysiaGazette