BANTING – Sarung plastik wayar dan papan litar elektrik hancur antara bahan buangan yang ditemui dalam lima timbunan sampah yang dibuang secara haram di atas tapak projek perumahan dipercayai milik Perbadanan Nasional Berhad (PNB) di sini sejak semalam.
Bukan sahaja dilupuskan secara haram, malah sisa industri itu turut dibakar sampai mengeluarkan jelaga dan asap hitam tebal sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk kampung berhampiran.
Tinjauan MalaysiaGazette hari ini ke tapak pelupusan sampah haram bersebelahan dengan pusat beli-belah Giant di sini mendapati laluan masuk telah diletakkan pita kuning milik Majlis Perbandaran Kuala Langat (MDKL) manakala timbunan bahan buangan itu dikepung pita kuning Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.
Terdapat juga kesan hitam di salah satu timbunan sisa industri itu dipercayai dibakar oleh operator sampah haram yang telah dipadamkan pihak bomba sejak semalam.
Difahamkan, kawasan itu masih dipenuhi dengan belukar dan semak samun memudahkan operator sampah haram melupuskan bahan buangan tanpa dikesan terutama pada waktu malam.
Menurut penduduk Kampung Sungai Manggis, Mohd Ali Hasan, pada mulanya dia bersama rakan-rakannya hanya mengesan tapak pembuangan sampah haram itu selepas ‘mengekori’ arah asap tebal hitam di udara.
Sebaik sahaja menemui punca sebenar asap hitam itu, mereka membuat rakaman video secara siaran langsung di laman Facebook bernama Banting Hebat hingga tular di media sosial.
Selepas video berdurasi satu minit 14 saat itu tular, dia terus menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Langat agar memadamkan segera kebakaran sisa industri itu daripada merebak.
“Sejak seminggu ini, penduduk Kampung Sungai Manggis dan Kampung Sungai Sedu menghadapi bau asap, pada mulanya kami rasa ia disebabkan oleh pembersihan kawasan kelapa sawit untuk pembangunan taman perumahan di sini.
“Tetapi bila hujan, sepatutnya api atau asap kurang sebaliknya semakin banyak berlaku. Ini menyebabkan saya terpanggil untuk mengenal pasti dari mana puncanya asap ini datang.
“Saya bersama rakan saya telah mengikut dari mana arah asap ini datang sehingga kami sampai di sini dan menampakkan longgokan sisa-sisa elektronik sedang terbakar.
“Saya juga telah muat naik dalam Facebook Banting Hebat supaya lebih ramai yang mengetahui tentang berlakunya satu penempatan sisa elektronik haram yang telah dibakar,” katanya ketika ditemui hari ini.
Semalam, JAS Selangor mengesan aktiviti pembakaran terbuka timbunan bahan disyaki sarung plastik wayar dan papan litar elektronik hancur di sebuah tempat pelupusan sampah haram, di Banting.
Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, pihaknya telah mengambil tiga sampel daripada tapak pelupusan sampah haram itu yang terletak berhampiran sebuah pasar raya besar untuk dianalisis Jabatan Kimia Malaysia.
Menurut beliau, JAS Selangor juga sedang mengesan pemilik tanah tapak pelupusan sampah haram berkenaan selain menjejaki kilang berdekatan yang menghasilkan bahan buangan seperti itu bagi melengkapkan kertas siasatan.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Seksyen 34B akta yang sama.
Dalam pada itu, Mohd Ali mendakwa pembakaran terbuka sisa industri itu boleh menjejaskan saluran pernafasan penduduk kampung yang berdekatan.
“Kami di Kampung Sungai Manggis dan juga Kampung Sungai Sidu mempunyai orang-orang tua dan kurang sihat apatah lagi semasa musim Covid-19 kita memerlukan kekuatan paru-paru dan sistem pernafasan.
“Kegiatan di sini telah menyebabkan udara kita beracun,” katanya.
Mohd Ali juga berharap pihak berkuasa menyiasat dengan teliti kes pembakaran terbuka dan pembuangan sisa industri yang menyebabkan seluruh ekosistem penduduk dan kehidupan di situ terganggu.
“Siasatan terperinci perlu dilaksanakan supaya Banting dan Kuala Langat ini bukanlah tempat pembuangan sampah haram khususnya sisa industri.
“Kilang kitar semula di sebelah kawasan ini belum dapat apa-apa kelulusan tetapi telah beroperasi dan kilang itu telah mengeluarkan bau busuk, mengeluarkan air daripada proses kilang ke sungai, itu pun belum nampak penyelesaian isu itu.
Tambahan pula katanya, kawasan itu dikelilingi Sungai Langat dan faktor geografi itu mendorong operator sampah haram untuk melupuskannya secara salah dan tidak mengambil kira pencemaran alam sekitar.
“Saya kurang pasti siapa dalang pembuangan sampah haram ini sebab banyak kilang dan Industri di sini seperti di Teluk Panglima Garang, di sebelah Giant Banting pun banyak kilang dan Olak Lempit, kita tak tahu yang mana satu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette