Home Pendapat Tutup sekolah: Pastikan pendidikan tidak terabai

Tutup sekolah: Pastikan pendidikan tidak terabai

Gambar hiasan

TERIMA KASIH kepada Perdana Menteri dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)
kerana akhirnya bersetuju untuk menutup semua sekolah yang ada kes positif Covid-
19 serta sekolah yang berada dalam kawasan zon merah. Keputusan ini cukup
melegakan para ibu bapa kerana pada ketika ini ibu bapa hanya mengutamakan soal
kesihatan anak-anak sahaja. Walaupun langkah ini akan menjejaskan tahap
pendidikan anak-anak namun kita tidak mempunyai banyak pilihan selain terpaksa
menutup sekolah yang berisiko seperti ini.

Ironinya peningkatan semula kes wabak Covid-19 secara mendadak di seluruh
negara mula membimbangkan golongan ibu bapa. Justeru majoriti berpandangan
dan mahukan kerajaan menutup sekolah yang berisiko dengan mengutamakan
kesihatan anak-anak. Hal ini kerana jika sesi persekolahan masih berjalan seperti
biasa kita khuatir risiko penularan wabak dan jangkitan virus akan lebih tinggi dan
sudah semestinya ini akan mengancam nyawa anak-anak.

Kerajaan sudah membuat keputusan dan penulis percaya jika penularan terus
merebak maka lebih banyak lagi sekolah akan ditutup dalam masa terdekat ini. Hal
ini tidak mustahil kerana kes positif sememangnya dijangkat akan meningkat lagi
dalam masa terdekat kerana pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang
giat melakukan saringan secara lebih menyeluruh dan bersasar. Justeru dilema
sekarang ialah bagaimana pula dengan pendidikan anak-anak yang terpaksa
dicutikan ini terutamanya yang akan berhadapan dengan peperiksaan besar seperti
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

Maka dalam konteks ini guru dan ibu bapa perlu memainkan peranan yang penting.
Para guru perlu meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian
di rumah. Dalam konteks ini pihak KPM juga telahpun mengeluarkan manual pengajaran dan pembelajaran di rumah sebagai panduan kepada pihak sekolah. Pengetua dan Guru Besar perlu memastikan para guru dapat melaksanakan tanggungjawab ini sebaik mungkin agar sepanjang cuti tersebut pendidikan anak-anak dapat diteruskan seperti biasa dalam norma baharu. Hal ini juga bukan baru untuk kita kerana sesi pengajaran dan pembelajaran telahpun dilaksanakan dalam talian ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tempoh hari. Walaupun keberkesanan pengajian dalam talian terus diperdebatkan namun buat masa sekarang kita tidak mempunyai banyak pilihan.

Dalam pada itu ibu bapa juga perlu memastikan anak-anak terus kekal fokus ketika
menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah. Sediakan persekitaran dan
kemudahan yang kondusif serta bersesuaian agar anak-anak dapat belajar dengan
tenang dan selesa. Malah ibu bapa juga wajar bertindak sebagai guru di rumah
dengan membantu anak-anak dalam sesi pengajaran dan pembelajaran mereka. Kita
yakin kerjasama erat antara guru dan ibu bapa ini mampu meneruskan
kecemerlangan pendidikan anak-anak.

Pada masa yang sama kita juga berharap agar ibu bapa dapat memahami tujuan
sebenar pihak kerajaan menutup sekolah yang terlibat. Sekolah ditutup bagi
mengurangkan risiko penularan dan jangkitan wabak, atau dalam lain perkataan
demi kesihatan anak-anak. Justeru bila anak-anak sudah dicutikan jangan pula kita
membawa mereka keluar ke merata-rata tempat seperti di kawasan sesak dan
tumpuan awam tanpa mempedulikan kemungkinan risiko jangkitan serta nasihat
kerajaan. Sepatutnya anak-anak ini kekal berada di rumah demi keselamatan dan
kesihatan mereka. Jika terpaksa keluar sekalipun pastikan anak-anak sentiasa
mematuhi semua Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti memakai pelitup muka,
mengamalkan penjarakan fizikal dan sentiasa menggunakan pensanitasi tangan.

Secara prinsipnya langkah menutup sekolah yang berisiko ini adalah satu pendekatan
yang sangat wajar. Semua pihak perlu memahami tujuan sebenar keputusan berat
yang terpaksa dibuat oleh kerajaan ini. Namun pada masa yang sama kita berharap

sangat agar ianya tidak dijadikan alasan untuk kita mengabaikan aspek pendidikan
mahupun kesihatan dan keselamatan anak-anak.

Penulis adalah penganalisis isu-isu semasa