Home Politik Anwar patut bersara daripada teruskan strategi terdesak, kata Wan Saiful

Anwar patut bersara daripada teruskan strategi terdesak, kata Wan Saiful

Wan Saiful Wan Jan
Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dinasihatkan agar bersara daripada politik sekiranya beliau terus berbohong mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen namun gagal mengemukakan senarai wakil rakyat yang terlibat.

Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, tindakan Anwar itu hanya menimbulkan ketidakstabilan politik hingga memberi kesan kepada ekonomi negara dan kebajikan rakyat.

“Ini bukan kali pertama Dato’ Seri Anwar cuba menggugat kestabilan kerajaan dengan penipuan yang sama.

“Sekiranya inilah strategi terdesak yang beliau mahu gunakan, saya cadangkan beliau bersara sahaja daripada politik negara.

“Benarkan tokoh lain mengambil alih kepimpinan pembangkang agar pembangkang di negara kita boleh menjadi pembangkang yang konstruktif,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu Ahli Parlimen Port Dickson itu mendakwa telah menyerahkan dokumen sahih berbentuk akuan bersumpah dan pengesahan dokumen ketua-ketua parti kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, pagi tadi.

Bagaimanapun kenyataan Anwar itu disanggah oleh pihak Istana Negara dalam satu kenyataan yang mendedahkan Presiden PKR itu gagal menyenaraikan 120 ahli Parlimen yang menyokong beliau.

Wan Saiful juga menggambarkan pembohongan Anwar itu sebagai semakin terpisah daripada denyut nadi rakyat yang mahukan kestabilan.

“Anwar telah membohongi rakyat apabila mendakwa mempunyai cukup sokongan dalam usaha menggulingkan kerajaan.

“Apa yang difikirkan hanyalah cita-cita peribadi sahaja.

“Ia melambangkan betapa Anwar semakin lama semakin terpisah daripada denyut nadi rakyat,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih mempunyai sokongan untuk terus memimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Seluruh jentera dan organisasi Bersatu kekal menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin dalam rangka memastikan kebajikan rakyat terjaga dan ekonomi negara dapat dibina semula,” katanya lagi. – MalaysiaGazette