KUALA LUMPUR – Bilangan kes positif COVID-19 di Malaysia meningkat lagi hari ini dengan sejumlah 660 kes baharu dilaporkan, selain turut mencatat empat kematian.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes positif itu, sebanyak 658 kes adalah penularan dalam negara yang melibatkan 618 kes warga tempatan dan 40 kes bukan warganegara.
Memperincikannya, beliau berkata 443 kes dilaporkan di Sabah manakala 76 kes di Selangor; Kedah pula 60 kes daripada Kluster Tembok; Pulau Pinang (23), Wilayah Persekutuan Labuan (18), Perak (16), Johor (10), Kuala Lumpur (sembilan), Negeri Sembilan (dua) dan Pahang (satu).
Beliau berkata ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di dalam negara adalah sebanyak 16,880 kes serta jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 sebanyak 5,345, manakala jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 pula sebanyak 163 kes.
Mengenai empat kematian yang dilaporkan hari ini, Dr Noor Hisham berkata kesemuanya dilaporkan di Sabah.
Satu kematian di lapor di Hospital Semporna melibatkan wanita bukan warganegara berusia 36 tahun dengan penyakit tuberkulosis dan satu lagi kematian ialah lelaki berusia 59 tahun di Hospital Tawau yang mempunyai penyakit buah pinggang kronik, katanya.
Beliau berkata sehingga kini, terdapat 101 kes positif COVID-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dan 32 kes memerlukan bantuan pernafasan.
— BERNAMA