KUALA LUMPUR – Spekulasi mengenai masa depan Hariss Harun bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas pemain tengah Singapura itu mengesahkan bakal melanjutkan pelajaran.
Hariss memberitahu, dia telah ditawarkan biasiswa pendidikan kecemerlangan sukan di Akademi PSB untuk melanjutkan pelajaran dalam Sarjana Muda Kesenian dengan Kepujian dalam Perniagaan dan Pemasaran bersama Coventry University, England.
Selain, pemain berusia 29 tahun itu akan menjadi duta kolej tersebut.
“Saya hampir sampai kemuncak karier bola sepak saya dan saya berharap dapat bermain untuk beberapa tahun lagi tetapi saya perlu bersedia untuk kehidupan selepas sukan.
“Oleh sebab itu, saya akan bersedia dari sekarang dengan membuat keputusan penting bagi mendapatkan pendidikan saya. Jangan tunggu hingga ia terlewat,” kata dalam di Instagram miliknya semalam.
Hariss yang membantu Singapura menjuarai Piala AFF 2012 turut mengesahkan dia akan terus bermain untuk JDT walaupun melanjutkan pelajaran di negaranya.
Baru-baru ini, Hariss dengan bersahaja menyatakan mengenai perkembangan kariernya selepas membuat hantaran ‘Conventry here I come’ di Facebooknya dan ada dalam kalangan peminatnya mendakwa yang beliau akan menyertai Kelab Conventry City FC, Liga Kejuaraan Inggeris.
JDT menjuarai Liga Super untuk kali ketujuh berturut-turut sejak 2014 minggu lepas dan dalam masa yang sama merekodkan musim tanpa kekalahan untuk dua musim selepas 2016.
Diasaskan pada 1964, Akademi PSB merupakan sebuah pusat pendidikan tinggi swasta yang berkedudukan tinggi di Singapura. – MalaysiaGazette