KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menafikan bahawa beliau telah menyatakan sokongan kepada mana-mana individu sebagai calon perdana menteri.
Reaksi Pengerusi Parti Pejuang itu menyusul selepas desas-desus bahawa beliau telah menyokong seseorang yang ingin menjadi Perdana Menteri negara menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Saya diberitahu bahawa kononnya saya menyokong seseorang daripada calon yang ingin menjadi Perdana Menteri.
“Saya ingin nyatakan bahawa saya tidak pernah memberi sokongan kepada sesiapapun sebagai calon untuk menjadi perdana menteri,” katanya dalam kenyataan khas yang dimuat naik di laman Facebook rasminya sebentar tadi.
Video khas berdurasi satu minit itu dimuat naik kira-kira sekitar jam 6.20 petang oleh Ahli Parlimen Langkawi itu.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, beliau kini menganggotai parti baharunya iaitu Pejuang dan parti berkenaan adalah bebas.
“Parti ini (Pejuang) tidak ada kaitan dengan mana-mana parti ataupun individu yang mempunyai cita-cita untuk mendapatkan sesuatu jawatan.
“Saya harap tidak ada lagi percubaan menyatakan kononnya saya sudah sokong si polan si polan, tak ada sokongan. Sekian terima kasih,” katanya. – MalaysiaGazette