Home Nasional Kos PRK Batu Sapi hampir RM6 juta

Kos PRK Batu Sapi hampir RM6 juta

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh.

PUTRAJAYA – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi yang bakal diadakan pada 5 Disember depan menelan perbelanjaan mengurus hampir RM6 juta.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh memberitahu, PRK yang bakal diadakan kali ini berlainan sedikit berbanding mana-mana PRK yang pernah dibuat sebelum ini.

Ini kerana katanya, PRK tersebut diadakan ketika seluruh negara sedang berdepan dengan penularan pandemik Covid-19 dan perbelanjaan mengurus bagi PRK itu meningkat sekali ganda.

“Kalau tengok yang biasa (PRK), kos tidak berapa tinggi. Apabila wujud wabak ini (Covid-19) ia meningkat sekali ganda.

“Untuk PRK ini kita guna RM6 juta. Maknanya ia meningkat sekali ganda. Kena ada khemah kesihatan, pekerja kena tambah, selain kemudahan untuk Covid-19 ini kita kena siapkan,” katanya pada sidang media pengumuman PRK Batu Sapi di sini hari ini.

Abdul Ghani berkata, perkara itu tidak dapat dielakkan memandangkan PRK berkenaan adalah di luar jangkaan dan pengisian kekosongan kerusi tersebut perlu dibuat meskipun negara sedang dilanda wabak Covid-19.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada SPR bersedia untuk berdepan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) dalam masa terdekat sekiranya Parlimen dibubarkan, Abdul Ghani berkata, pihaknya terbuka dengan perkara itu kerana ia sememangnya sudah menjadi tanggungjawab SPR untuk mengendalikan apa sahaja pilihan raya.

“Terpulanglah kepada kerajaan semasa, apa tindakan yang dibuat, kita hanya menerima arahan daripada pihak-pihak yang membuat keputusan,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau berharap agar tidak ada pilihan raya besar diadakan pada masa ini ekoran rakyat berdepan dengan bahaya akibat penularan wabak Covid-19.

“Menjaga keselamatan semua orang ini bukan satu kerja yang mudah.

“Apabila berlakunya pilihan raya, kempen dibuat, macam-macam yang akan dibuat. Jadi kalau tanya saya perkara ini, tidak sesuai kerana pandemik melanda negara kita sekarang,” jelasnya. – MalaysiaGazette