Home Politik Letak calon PRK Batu Sapi, PN bincang dengan GRS – Muhyiddin

Letak calon PRK Batu Sapi, PN bincang dengan GRS – Muhyiddin

Muhyiddin Yassin

PUTRAJAYA – Perikatan Nasional (PN) akan berbincang dahulu dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sama ada mahu meletakkan calon atau tidak dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya akan menelitinya sebelum membuat sebarang keputusan walaupun Barisan Nasional (BN) sudah menyatakan tidak menyertainya.

“Kita akan teliti. Nanti buat keputusan kerana GRS (Gabungan Rakyat Sabah) ada kerusi-kerusi tertentu termasuklah Batu Sapi,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurut Muhyiddin, walaupun BN tidak bertanding namun parti-parti lain sekutunya akan membuat keputusan selepas mengadakan perbincangan terlebih dahulu.

Terdahulu ketika ditanya adakah cara untuk menghalang PRK Parlimen Batu Sapi daripada diadakan dalam keadaan penularan kes Covid-19 di Sabah, Muhyiddin yang juga Perdana Menteri berkata, ia di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Namun beliau mahu SPR memperketatkan lagi peraturan.

“Mungkin tempoh kempen boleh disingkatkan. Kempen rumah ke rumah… kalau boleh ditiadakan.

“Perhimpunan yang dibuat mesti disekat dan kena ada penguatkuasaan. Kalau langgar, parti terlibat mesti dikenakan tindakan,” katanya.

SPR hari ini telah menetapkan PRK Parlimen Batu Sapi diadakan pada 5 Disember depan, hari penamaan calon pada 23 November manakala hari untuk mengundi awal adalah pada 1 November ini.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

SPR tetapkan PRK Batu Sapi pada 5 Disember