Home Seni Hidup Akademi tahfiz mohon sumbangan

Akademi tahfiz mohon sumbangan

Akademi Huffaz International Islamic Assyakirin di Taman Melawati, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Akademi Huffaz International Islamic Assyakirin memerlukan sumbangan ihsan orang ramai untuk terus beroperasi selain pembelian sebuah van untuk urusan pergerakan.

Pengasasnya, Datuk Muhamad Riduwan Safrizal, berkata, akademi itu memerlukan sekurang-kurangnya kira-kira RM15,000 sebulan untuk kos operasi termasuk bayaran gaji kakitangan termasuk ustaz serta makan minum pelajar.

Menurutnya, akademi yang dibuka pada awal tahun ini mempunyai 13 pelajar lelaki yang sedang giat menghafaz kitab suci al-Quran dan kerja kemahiran pada hujung minggu.

“Pembelian van adalah untuk memudahkan pergerakan pelajar untuk bergerak termasuk ke masjid dan aktiviti lain serta pihak kami amat mengalu-alukan jika ada pihak yang ingin menyumbang kenderaan itu.

“Selain itu, kami juga menyediakan makan minum sebanyak empat kali kepada anak-anak ini yang rata-rata golongan asnaf dan anak yatim serta jumlah mereka akan meningkat dalam masa terdekat ini,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Pengasas Akademi Huffaz International Islamic Assyakirin, Datuk Mohamad Ridwan Safrizal bersama tenaga pengajar dan pelajar tahfiz membaca al-quran di Akademi Huffaz International Islamic Assyakirin, Taman Melawati, Kuala Lumpur.

Akademi Huffaz International Islamic Assyakirin tidak mengenakan sebarang bayaran yuran terhadap pelajar dan segala kos perbelanjaan berkenaan selama ini adalah melalui sumbangan jualan produk jenama Sherwanis.

Muhamad Riduwan berkata, pihak akademi turut membuka peluang kepada muslimin dan muslimat bersama-sama infaq untuk membeli beberapa keperluan lain madrasah yang masih lagi tidak mencukupi.

Keperluan itu katanya, termasuk barang makan ringan dan basah selain bayaran bil air dan elektrik.

“Bagi memastikan kos perbelanjaan untuk anak akademi tahfiz tidak putus, pihak kami juga menganjurkan program infaq pembangunan RM30 sebulan,” katanya.

Sementara itu, orang ramai yang ingin membantu boleh sumbangkan derma di akaun Maybank 564221650239 atas nama Akademi Huffaz Assyakirin dan menghantar salinan slip sumbangan menerusi WhatsApp ke talian +60136292599. – MalaysiaGazette