Home Ekonomi Bukan mahu bail-out EcoWorld- Shahril

Bukan mahu bail-out EcoWorld- Shahril

Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Shahril Ridza Ridzuan foto FAREEZ FADZIL,

KUALA LUMPUR – Cadangan penggabungan EcoWorld Bhd. dengan UEM Sunrise Bhd. bukan bail-out untuk mana-mana pihak, kata Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd., Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

Jelasnya, urus niaga tersebut tidak membabitkan sebarang wang tunai dan hanya berdasarkan pertukaran saham dan waran.

“Ini adalah cadangan komersial bertujuan meningkatkan nilai untuk semua pemegang saham dengan mewujudkan pemaju hartanah yang mantap dalam setiap segmen industri dan boleh dianggap antara paling kompetitif di Malaysia,” katanya seperti yang dilaporkan Berita Harian hari ini.

Menurut Shahril, UEM Sunrise mempunyai tumpuan pemilikan tanah atau simpanan tanah yang cukup besar di Johor dan segmen kediaman bertingkat tinggi (high rise) sangat mencabar sekarang.

Justeru, penggabungan yang dicadangkan itu akan membantu mengimbangi komposisi pemilikan tanah UEM Sunrise dan membolehkan kedua-dua syarikat memanfaatkan kekuatan masing-masing, iaitu pemilikan tanah UEM Sunrise dan rekod prestasi EcoWorld dalam pembangunan bandar bersepadu serta taman perindustrian.

“Apa-apa pun, cadangan penggabungan ini baru sahaja bermula dan belum dimuktamadkan. Lembaga Pengarah UEM Sunrise dan EcoWorld perlu menjalankan ‘due diligence’ (kajian daya maju pelaburan) serta meneliti dengan halus cadangan ini sebelum membuat keputusan sama ada mengambil langkah seterusnya untuk mendapatkan persetujuan pemegang saham,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memberi komitmen cadangan penggabungan tersebut akan terus memelihara dasar Bumiputera dan tidak akan menjejaskan pegangan Bumiputera.- MalaysiaGazette