Home Politik Cemar kewibawaan Agong: Armada mahu Anwar dikenakan tindakan tegas

Cemar kewibawaan Agong: Armada mahu Anwar dikenakan tindakan tegas

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

KUALA LUMPUR – Kegagalan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan nama-nama Ahli Parlimen yang didakwa menyokong beliau untuk membentuk kerajaan baharu ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong adalah memalukan.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal berkata, tindakan Presiden PKR akan Anwar itu juga seolah-olah mencemarkan kewibawaan dan kemuliaan institusi Yang di-Pertuan Agong sebagai salah satu tunjang utama Perlembagaan negara.

Menurut beliau, sejak dari awal lagi Presiden PKR itu sememangnya tidak mempunyai majoriti seperti yang didakwa beliau.

”Namun demi kelangsungan politik sempit dan cita-cita peribadi untuk menjadi Perdana Menteri, beliau tergamak bermain sentimen untuk meneruskan agenda sia-sia ini, walaupun sehingga mengheret negara yang sedang berjuang memerangi wabak Covid-19 tatkala sedang melalui fasa kritikal pemulihan ekonomi dan tadbir sosialnya,” katanya.

Wan Ahmad Fahysal juga kesal kerana semacam wujud percanggahan antara kenyataan Anwar dan juga Istana Negara apabila Datuk Pengelola Bijaya Diraja mendedahkan bahawa Ketua Pembangkang itu tidak mengemukakan senarai nama wakil rakyat yang menyokong beliau.

Beliau juga menggesa tindakan tegas diambil terhadap Anwar kerana tindakannya yang disifatkan sebagai  biadab,  menggugat amalan demokrasi berparlimen dan mensabotaj ekonomi negara.

Menurut beliau, pasaran semalam yang dibuka rendah mencerminkan sentimen pelabur yang gusar akibat ketidakstabilan politik.

“Sekiranya dibiarkan tanpa dibendung, ekonomi negara boleh terjerumus kepada kehancuran.

“Mengambil kira situasi pandemik dengan kes lokal yang semakin meningkat, saya ingin mengambil kesempatan ini menyeru agar semua pihak, dari masyarakat teramai sehingga barisan hadapan negara dan pimpinan pelbagai kelompok, serta lapisan cabang siyasah untuk terus bertenang.

“Fokus utama harus diberikan bagi mengembleng tenaga kepada usaha pemulihan ekonomi dan kesihatan rakyat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

3 Komen

Comments are closed.