Impak pandemik Covid-19 telah menjejaskan negara kita daripada pelbagai aspek termasuk ketenteraman awam, perkembangan ekonomi dan juga kestabilan politik.
Faktor kestabilan politik secara tidak langsung terjejas berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan, selain prosedur operasi standard (SOP) berkaitan.
Harus ditekankan di sini bahawa pelaksanaan perintah dan SOP adalah satu keperluan wajib untuk membendung penularan gelombang ketiga Covid yang digeruni walaupun ianya meletakkan kekangan kepada pelbagai urusan penting.
Apa yang jelas di sini adalah negara kita memerlukan senario politik yang aman dan stabil sekiranya kita ingin mengulangi kejayaan meratakan lengkung graf COVID-19 dan juga mengurangkan penularan kes dalam komuniti seperti dulu.
Mengambil kira kesemua ini, sememangnya opsyen terbaik buat masa ini untuk semua pihak adalah untuk merujuk kepada apa yang diperuntukkan di dalam Artikel 43(4) Perlembagaaan Negara.
Perlembagaan Persekutuan Perkara 43(4) jelas mengatakan bahawa ‘Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong’.
Perlembagaan Persekutuan Perkara 43(4) juga dengan jelas mengatakan bahawa ia hanya terpakai ‘Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, beliau perlu meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong’.
Sekiranya opsyen tersebut dipilih, maka seterusnya peruntukkan Artikel 55 (4) pula akan dijadikan panduan.
Menurut artikel tersebut : “Apabila Parlimen dibubarkan, suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh ia bubar dan Parlimen hendaklah dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada satu ratus dua puluh hari dari tarikh itu”.
Ianya disarankan secara tegas di sini, bahawa sekiranya jalan penyelesaian ini dipilih, semestinya kadar penularan yang dicatat oleh Sabah hari ini akan berulang di setiap pelosok negara.
Apa yang berlaku di Sabah – bermula pada penamaan calon pada 12 September hingga keputusan diumumkan dan hari-hari awal kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kesemuanya perlu diteliti dan dijadikan iktibar agar kesilapan sedemikian tidak berulang lagi.
Tambahan pula, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh juga mengakui pilihan raya umum (PRU) atau negeri tidak sesuai diadakan ketika negara berdepan dengan ancaman COVID-19.
Menurut beliau berdasarkan pengalaman SPR menguruskan pilihan raya ketika COVID-19 menular, tidak mudah mengawal aktiviti perhimpunan rakyat ketika ia berlangsung.
Beliau juga dipetik sebagai berkata, tanpa pengisytiharan darurat PRK tersebut perlu dijalankan dalam tempoh yang ditetapkan mengikut Perlembagaan.
Mengambil kira kesemua ini, ternyata penyelesaian terbaik adalah untuk bersandar kepada Artikel 55(2) Perlembagaan.
Artikel tersebut memperuntukkan bahawa hanya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa istimewa untuk memanggil Parlimen bersidang, menghentikan Parlimen daripada bersidang atau membubarkan terus Parlimen.
Dan buat masa ini, tidak ada pilihan yang lebih baik selain ‘memprorog’ (menggantung) sesi Parlimen’ sehingga penularan gelombang ketiga ini ditangani.
Memprorog sesi Parlimen akan membolehkan kerajaan hari ini iaitu Perikatan Nasional untuk menjalankan tugasan masing-masing tanpa sebarang kacau bilau.
Walaupun tidak pernah diimplementasikan sebelum ini dalam sejarah negara, proviso ‘menggantung parlimen’ telah pun digunakan di negara komanwel lain seperti United Kingdom, Canada, Indian, Nepal dan juga Sri Lanka.
Langkah kerajaan menggantung Parlimen juga tidak menjejaskan Perlembagaan Persekutuan sama sekali memandangkan ia dilaksanakan untuk memastikan pentadbiran negara diuruskan dengan cekap, bagi memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara.
Sekiranya negara ketika itu dilihat berjaya mengatasi pandemik ini maka secara automatik amalan demokrasi kita sebelum ini boleh diimplementasikan kembali.
Apa yang penting buat masa ini adalah membendung penularan pandemik.
Memandangkan ini adalah kali pertama kita berdepan dengan pandemik, maka langkah bersejarah seperti ini menjadi satu kewajipan yang perlu dilaksanakan.
Tan Sri SA Vigneswaran
Presiden MIC dan Mantan Yang Dipertua Dewan Negara