Home Dunia Kanak-kanak usia 12 didaftar untuk percubaan vaksin Pfizer

Kanak-kanak usia 12 didaftar untuk percubaan vaksin Pfizer

Pfizer antara syarikat farmaseutikal yang membangunkan vaksin untuk Covid-19. foto Agensi

NEW YORK – Pfizer akan mendaftarkan kanak-kanak seawal usia 12 tahun dalam percubaan vaksin Covid-19 peringkat akhir untuk memahami bagaimana ia berfungsi dalam kumpulan usia yang lebih luas.

Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat (AS) memberi kebenaran kepada pembuat ubat dan rakan kerjasama BioNTech SE untuk mendaftarkan peserta yang lebih muda bulan ini, katanya menerusi laman web.

Pembuat ubat itu kini bersaing dengan Johnson & Johnson, Moderna dan AstraZeneca untuk mengembangkan vaksin yang selamat dan berkesan dalam usaha membendung wabak Covid-19.

Syarikat-syarikat ini telah berjanji untuk memastikan kepelbagaian dari segi bangsa, etnik, jantina, umur dan faktor lain dalam kajian vaksin masing-masing.

Bulan lalu, Pfitzer telah meningkatkan percubaannya kepada kira-kira 44,000 peserta berbanding 30,000, malah turut mendaftarkan peserta berumur 16 tahun dan mereka yang mempunyai HIV, hepatitis C dan hepatitis B yang kronik dan stabil.

Percubaan, yang dijalankan di empat negara termasuk Amerika Syarikat, telah mendaftarkan 37,864 peserta pada hari Isnin, dengan 42% peserta keseluruhan dari usia 56 hingga 85 tahun. – MalaysiaGazette