Home Ekonomi KLIA kekal hab serantau menarik – MAHB

KLIA kekal hab serantau menarik – MAHB

Gambar hiasan

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kekal hab penerbangan serantau yang menarik dengan tiga lagi syarikat penerbangan global menyambung operasi pada awal bulan ini.

Perkembangan itu didorong oleh peningkatan keyakinan terhadap perjalanan udara berikutan pelaksanaan langkah-langkah keselamatan bagi membendung penularan COVID-19.

Dalam kenyataan hari ini, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata tiga syarikat penerbangan antarabangsa itu adalah British Airways yang menawarkan empat penerbangan seminggu dari Kuala Lumpur ke United Kingdom dan seterusnya; Oman Air (dua kali seminggu ke Muscat) dan Ethiopian Airlines (penerbangan mingguan ke Addis Ababa).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, selain itu terdapat 21 syarikat penerbangan kargo yang beroperasi di Kuala Lumpur termasuk sewa khas pada masa ini.

Menurutnya, walaupun terdapat penyusutan ketara muatan tan kargo pada Mac dan April susulan pengurangan kapasiti kargo dalam pesawat, kapasiti berkenaan telah diambilalih oleh pesawat kargo penuh.

“Ini membuktikan bahawa Kuala Lumpur kekal sebagai hab penerbangan serantau yang menarik.

“Malah, pengoperasian hab e-penunaian di KLIA Aeropolis iaitu usaha sama antara Malaysia Airports dan Cainiau, unit logistik Kumpulan Alibaba, akan memperkukuhkan lagi kedudukan Kuala Lumpur sebagai hab pengagihan serantau,” katanya dalam kenyataan itu.

Menurut MAHB, lapangan terbang di Malaysia juga terus menyaksikan peningkatan bulanan dari segi jumlah penumpang dan aliran trafik berkaitan.

Pada September lepas, aliran trafik atau jumlah pergerakan penumpang udara meningkat sebanyak 19 peratus pada Ogos kepada 1.7 juta manakala pergerakan pesawat juga menokok 9.8 peratus kepada 27,010.

Dalam pada itu, operasi MAHB di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul mencatat hampir dua juta penumpang bulan lepas dengan lima syarikat penerbangan beroperasi di pintu masuk Turki itu, setakat ini.

“Berikutan itu, kumpulan mencatat sebanyak 3.5 juta pergerakan penumpang pada September 2020,” kata syarikat pengendali lapangan terbang itu.

Menurut MAHB, syarikat penerbangan kargo, Pos Asia Cargo Express, baru-baru ini memperkenalkan laluan baharu dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Sibu yang beroperasi enam kali seminggu menggunakan pesawat jenis B737-400F.

Dalam pada itu, operasi kargo udara di Malaysia juga kekal stabil bagi tempoh hampir sepanjang tahun ini.

Malah, menurut MAHB, walaupun terdapat penurunan pergerakan penumpang yang ketara, trafik kargo sebaliknya terus berdaya tahan.

Ini menerusi data bagi tempoh Januari-Ogos 2020 yang menunjukkan operasi kargo di Malaysia mencatat purata kira-kira 65,000 tan metrik sebulan berbanding kira-kira 76,000 tan metrik sebulan pada 2019. – MalaysiaGazette