Home Politik Sokong keputusan parti tiada kaitan dengan kes mahkamah

Sokong keputusan parti tiada kaitan dengan kes mahkamah

Datuk Seri Najib Tun Razak (kiri) bersama Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan (tengah) dan Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi (kiri) semasa Perhimpunan Agung UMNO 2019.

KUALA LUMPUR – Pendirian bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyokong apa jua keputusan UMNO tidak mempunyai kaitan dengan kes mahkamah yang sedang dihadapi beliau.

“Pendirian saya tiada kena-mengena dengan kes-kes mahkamah saya seperti dimainkan propaganda-propaganda Pakatan Harapan dan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebab saya tetap percaya saya tidak bersalah.

“Apa yang saya buat selama ini ialah demi rakyat serta parti dan saya boleh jawab pada Allah.

“Saya yakin dan pasti saya dapat membersihkan nama saya dan didapati tidak bersalah termasuk di mahkamah rayuan jika sistem perundangan adalah adil dan bebas dari pencaturan Tun Dr. Mahathir dan kerajaan PH dahulu untuk memangsakan saya.

“Berhubung dengan itu juga, saya tidak mahu menerima apa-apa jawatan menteri biarpun dalam kerajaan Perikatan Nasional ataupun apa-apa kerajaan baru selama kes-kes saya belum selesai dan nama saya belum dibersihkan,” katanya dalam hantaran di Facebook pada hari ini.

Beliau turut mengepil bersama satu pautan video bertajuk “Najib akan sokong keputusan parti terhadap Anwar” bertarikh 25 September 2020.

Tegasnya, beliau adalah “orang parti” dan akan menyokong penuh keputusan rasmi parti meskipun terdapat sesuatu perkara yang tidak dipersetujuinya secara peribadi.

Bagaimanapun, perkara tersebut akan diutarakan dan dibincangkan melalui saluran dalam dan tidak mengkritik secara terbuka.

Najib juga menasihati UMNO dan kerajaan PN untuk memberi keutamaan kepada pemulihan ekonomi, pengawalan Covid-19 serta kebajikan rakyat.

“Apa-apa langkah politik yang dilakukan tidak boleh dibenarkan untuk menjejaskannya.

“Menteri-menteri dari UMNO dan BN dalam kerajaan PN sekarang perlu sentiasa menumpukan fokus sepenuhnya kepada keutamaan ini pada ketika ini,” ujarnya lagi.

Dalam hantaran yang sama, Najib turut menyatakan pendapatnya yang bersetuju dengan keputusan Biro Politik UMNO yang mahu menimbang semula sokongan terhadap PN dan mengenakan syarat kepada PPBM. – MalaysiaGazette