KUALA LUMPUR – Semua pihak diminta berhenti membuat andaian dan persepsi palsu kononnya UMNO akan berubah arah dan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih bersekongkol dengan DAP.Anwar
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkata, keputusan UMNO tidak sesekali akan membelakangan kepentingan Islam, bangsa dan kebajikan rakyat keseluruhannya.
Menurutnya, banyak perkara yang belum diluahkan dan ditulis untuk tatapan khalayak.
Isu politik kembali menghangatkan Malaysia apabila Biro Politik UMNO yang bermesyuarat kelmarin mempertimbangkan untuk menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional (PN) dan akan memberi syarat baharu bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang membuat kenyataan itu berkata, UMNO juga akan mencadangkan kepada Jawatankuasa Pemandu Muafakat Nasional (MN) agar pendaftaran gabungan itu didaftar segera sebagai sebuah gabungan politik yang sah.
Kenyataan itu dibuat beberapa jam selepas Anwar mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan dokumen sahih sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen terhadapanya.
Dokumen itu, kata Anwar, berbentuk akuan bersumpah dan pengesahan ketua-ketua parti yang menyatakan sokongan kepadanya untuk membentuk kerajaan baharu. – MalaysiaGazette