KUALA LUMPUR – Ketua Angkatan Muda Bersatu (ARMADA), Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya beliau mengancam untuk meranapkan UMNO pada pilihan raya akan datang.
Wan Ahmad Fayhsal menegaskan beliau tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan memusuhi UMNO yang dimuat naik dalam laman media sosial dalam masa terdekat.
“Saya nafikan sekeras-kerasnya fitnah yang ditujukan kepada saya. Tiada status seperti ini dimuat naik di mana-mana saluran.
“Saya harap semua pihak hanya merujuk kepada saluran rasmi BERSATU atau ARMADA untuk sebarang kenyataan rasmi,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook miliknya, semalam.
Semalam tular di media sosial satu hantaran kononnya dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu yang menggunakan sekeping gambar beliau sendiri di pejabat kementerian.
Antara hantaran palsu itu ialah beliau mencabar UMNO dan Barisan Nasional (BN) bertanding di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang ditandingi Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menurut hantaran itu lagi, Bersatu ada Pas masuk Perikatan Nasional (PN) dan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin itu akan menghancurkan UMNO sampai tinggal arang dalam PRU15. – MalaysiaGazette