PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li mempunyai hak untuk mengemukakan sebarang usul di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun Setiausaha Agong Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, pada masa sama, Speaker Dewan Rakyat juga mempunyai tanggungjawab untuk melaksanakan tugasnya mengikut peraturan yang ditetapkan.
“Sebagai ahli Parlimen yang agak lama, saya sudah faham benar,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai sepucuk surat Ku Li yang mahu usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dibahaskan di Dewan Rakyat.
Ditanya mengenai dakwaan kewujudan kem yang menyokong Ku Li di dalam UMNO untuk diangkat sebagai Perdana Menteri, Annuar memilih untuk mengunci mulut.
“Saya tak ada (komen) untuk ulas mengenai apa- apa spekulasi,” katanya.
Menurutnya, semua pihak sepatutnya memberi tumpuan kepada rakyat.
Dalam perkembangan sama Annuar berpendapat, tiada keseimbangan antara rakyat dan politik.
Katanya, rasa tidak puas hati akan datang sepanjang masa tetapi ia bukanlah alasan untuk bergaduh.
“Rakyat menjadi susah, pasaran saham merudum, bilangan pelabur luar akan kurang sekiranya kita ambil pendekatan sebegitu,” katanya.
Semalam, tular sepucuk surat, Ku Li mendakwa dua usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin ditolak sebanyak dua kali untuk dibahaskan.
Pendedahan itu dibuat sehari selepas Ku Li dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Pertemuan itu diadakan selepas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersembahkan bukti yang didakwa memberi sokongan terhadapnya. – MalaysiaGazette