Home Nasional RM39.75 juta diperuntuk bantu warga KL, Putrajaya terjejas kerana PKPB

RM39.75 juta diperuntuk bantu warga KL, Putrajaya terjejas kerana PKPB

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menunjukkan plan Inisiatif Wilayah Cakna 3.0 pada Sidang Media Pengumuman Khas Inisiatif Wilayah Cakna 3.0 di Menara Seri Wilayah, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 15 OKTOBER 2020

PUTRAJAYA – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan beberapa agensi lain mengambil langkah mewujudkan inisiatif tambahan bagi meringankan beban warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan Beryarat (PKPB).

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, sebanyak RM39.75 juta diperuntukkan bagi tujuan itu dan ia hanya diberikan kepada warga Wilayah Persekutuan yang terjejas.

Katanya, antara inisiatif tersebut adalah pengecualian bayaran sewa rumah bagi tempoh tiga bulan bermula Oktober hingga Disember.

“Keseluruhan peruntukan ini adalah berjumlah RM14.4 juta yang akan memberi manfaat kepada 40,000 penyewa PPR MTEN dan PA DBKL di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Annuar berkata, bagi 5,830 penjaja dan peniaga kecil berlesen di Kuala Lumpur pula, mereka dikecualikan daripada membayar sewaan dengan pengecualian hasil kepada DBKL berjumlah RM2.5 juta.

“Penjaja dan peniaga kecil Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ini juga turut diberi pengecualian bayaran bagi pembaharuan lesen perniagaan bulan November yang melibatkan 1339 akaun dengan kos sebanyak RM330,000.00,” ujarnya.

Tambah beliau, pengecualian caj sewaan premis milik Perbadanan Putrajaya (PPj) juga memberi manfaat kepada 302 penjaja dan peniaga kecil di Putrajaya yang bermula Oktober hingga Disember melibatkan pengecualian hasil kepada PPj berjumlah RM1.87 juta.

Beliau berkata, penjaja dan peniaga kecil Putrajaya ini juga turut diberi pengecualian bayaran pembaharuan lesen perniagaan yang dibuat dalam tempoh Oktober hingga Disember 2020 melibatkan peruntukan berjumlah RM50,000.

Katanya lagi, PPj turut akan menyediakan bantuan Food Pack berbentuk baucar makanan kepada asnaf dan golongan miskin (B40) bernilai RM100.00 untuk setiap isi rumah.

“Pelajar sekolah daripada keluarga berpendapatan rendah di Kuala Lumpur akan menerima baucar bantuan buku latihan sekolah bernilai RM100.00 daripada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) yang boleh digunakan di koperasi sekolah masing-masing.

“Manakala 1,000 orang pelajar miskin di Putrajaya juga turut menerima baucar Back to School bernilai RM100.00 daripada PPj sebagai persediaan untuk perbelanjaan barangan persekolahan tahun hadapan. 350 orang pelajar tadika kelolaan PPj turut dikecualikan daripada bayaran yuran bulan Oktober 2020,” ujarnya.

Menurut Annuar lagi, sumbangan sebanyak RM3,000 secara one-off turut diberikan kepada 11 Majlis Perwakilan Penduduk di Wilayan Persekutuan Kuala Lumpur dan enam sub zon MPPWP Putrajaya.

Sebanyak RM2,000 secara one-off pula diberikan kepada 570 persatuan penduduk di Kuala Lumpur serta Putrajaya.untuk pelaksanaan program-program pencegahan Covid-19 dalam kalangan komuniti bagi memutuskan rantaian penularan wabak itu.

Dalam perkembangan sama Annuar berkata, sejumlah RM1.4 juta diperuntukkan bagi program-program bantuan kepada golongan asnaf dan berpendapatan rendah oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
(JAWI).

Ujarnya, ini termasuk bantuan kepada nasjid dan surau Jumaat di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan; Program Dapur It’am; Program Bantuan Dakwah; dan Program Bantuan Baitul Rizq Masjid Wilayah.

“Pihak MAIWP juga turut memberikan bantuan kecemasan khas Covid-19 dan bantuan makanan serta sewa kediaman kepada mahasiswa awam di IPTA Wilayah Persekutaun Kuala Lumpur berjumlah RM12.7 juta,” tambah beliau. – MalaysiaGazette