BANGKOK – Kerajaan Thailand telah mengumumkan darurat untuk memerangi tunjuk perasaan di ibu kota Thailand ini, termasuk melarang perhimpunan lebih daripada empat orang.
Perintah darurat itu berkuatkuasa pada pukul 4 pagi waktu tempatan pada hari Khamis.
Pengumuman di televisyen yang dibacakan oleh polis memaklumkan “banyak kumpulan telah mengundang, menghasut dan mengadakan perhimpunan awam secara tidak sah di Bangkok”.
Oleh itu, tindakan segera diperlukan untuk menjaga keamanan dan ketenteraman.
Tunjuk perasaan itu diadakan untuk membendung kuasa raja dan peletakan jawatan Perdana Menteri, Prayuth Chan-ocha.
Mereka yang terlibat bertindak mendirikan kem berhampiran pejabat perdana menteri dan berhadapan dengan sebuah kereta yang membawa Raja Maha Vajiralongkorn pada hari Rabu.
Para penunjuk perasaan, yang dihalang oleh barisan polis, memberi hormat tiga jari yang telah menjadi simbol gerakan tunjuk perasaan.
Pengumuman di televisyen negara itu memaklumkan penunjuk perasaan telah “menimbulkan kekacauan dan kerusuhan masyarakat”.
Selain menghadkan jumlah perhimpunan kepada empat orang, keputusan itu mengenakan larangan kepada media – menerbitkan berita atau mesej yang boleh menimbulkan ketakutan atau sengaja memutarbelitkan maklumat, mewujudkan salah fajam yang akan menjejaskan keselamatan atau keamanan negara dan perintah.
Sementara itu, pihak berkuasa Thailand menangkap dua pemimpin tunjuk perasaan, menurut kumpulan Hak Asasi Manusia Thailand.
Pergerakan tunjuk perasaan yang dipimpin oleh pelajar semakin meningkat, ysejak bulan Julai lalu, telah menjadi cabaran terbesar selama bertahun-tahun bagi Kerajaan Thailand.
Protes pada hujung minggu lalu di ibu negara adalah yang paling besar dalam beberapa tahun.
Pihak berkuasa mengatakan 18,000 orang menyertai demonstrasi Sabtu, walaupun yang lain memberikan angka yang lebih tinggi. Ramai yang tetap meneruskan protes hingga hari Ahad sebelum mereka beredar. – MalaysiaGazette