Home Nasional Covid-19: KKM tambah katil di hospital Sabah

Covid-19: KKM tambah katil di hospital Sabah

Dr. Adham Baba

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menambah sebanyak 5,276 katil khusus Covid-19 di Sabah atau 53 peratus berbanding 5 Oktober lalu.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, ini adalah sebahagian usaha untuk memastikan kesiapsiagaan adalah pada tahap optima.

Sebanyak 16 Pusat Kuarantin dan Rawatan Ringan Covid-19 (PKRC) di negeri itu kini sedia untuk beroperasi, tambahnya.

“Selain itu, KKM katanya telah melaksanakan mobilisasi petugas kesihatan ke hospital, klinik kesihatan, pejabat kesihatan daerah dan juga petugas lapangan.

“Ini termasuk 140 pegawai perubatan dan 225 Penolong Pegawai Perubatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain Sabah, KKM turut menambah bilangan katil hampir sekali ganda kepada 11,076 di seluruh negara berbanding hanya 6,795 katil pada 6 Oktober.

“Jumlah itu termasuk 3,505 katil di 43 hospital COVID-19 dan 7,571 katil di 46 PKRC seluruh negara. Berbanding pada 6 Oktober lepas, terdapat 2,820 katil di hospital dan 3,975 katil di PKRC,” katanya.

Tambah Dr. Adham, kadar penggunaan katil COVID-19 di seluruh negara kini masih terkawal pada 45 peratus di hospital dan 37 peratus di PKRC.

Jumlah kes aktif hari ini ialah 6,323 kes, manakala kes sembuh 245 kes. – MalaysiaGazette