Home Dunia Perancis rekod 30,000 kes positif Covid-19 sehari

Perancis rekod 30,000 kes positif Covid-19 sehari

Seorang lelaki memakai pelitup muka yang diwajibkan oleh Kerajaan Perancis ketika berada berhampiran sebuah kafe di tepi Sungai Seine. foto AP

PARIS – Kes jangkitan Covid-19 mengejutkan apabila lebih 30,000 orang dijangkiti wabak itu pada hari Khamis, berbanding 22,591 pada hari sebelumnya.

Lonjakan besar itu berlaku menjelang perintah berkurung waktu malam yang akan dilaksanakan di Paris dan lapan bandar utama yang lain pada hari Sabtu ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran supaya peraturan ketat dilaksanakan untuk menyelamat lebih banyak nyawa.

Jutaan penduduk di Eropah telah diminta untuk mematuhi kaedah terbaharu ketika kerajaan-kerajaan sedang memerangi gelombang kedua Covid-19.

Mulai Sabtu ini, semua aktiviti sosial di dalam premis tidak dibenarkan sama sekali di London dan lain-lain kawasan di England akan diletakkan di bawah amaran Covid-19.

Seperti juga Perancis, Itali, Poland dan Jerman turut mencatatkan kenaikan harian terbesar dalam kes baharu pada hari Khamis sejak ujian saringan secara besar-besaran dilaksanakan.

Rusia mencatatkan jumlah kematian harian tertinggi sejak permulaan wabak ini dengan 286 orang dilaporkan meninggal dunia akibat virus tersebut.

WHO menggesa pemerintah Eropah untuk meningkatkan dan mengambil tindakan segera ketika benua itu melepasi 1,000 kematian yang dilaporkan setiap hari.

Sekatan baru diumumkan pada hari Rabu oleh Presiden Emmanuel Macron untuk memerangi kadar jangkitan yang melambung tinggi di seluruh Perancis.

Penduduk Paris, pinggir bandarnya dan lapan bandar lain termasuk Marseille dan Lyon tidak boleh meninggalkan kediaman mereka tanpa alasan “sah” antara jam 9 malam hingga 6 pagi, sekurang-kurangnya empat minggu.

Macron mengatakan mahu mengurangkan kenaikan kes setiap hari kepada 3,000. – MalaysiaGazette