Home Utama Sila bermuhasabah, jangan heret negara ke kancah politik tak menentu – YDPA

Sila bermuhasabah, jangan heret negara ke kancah politik tak menentu – YDPA

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

KUALA LUMPUR – Yang Dipertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menasihati ahli-ahli politik untuk bermuhasabah agar negara ini tidak sekali lagi diheret ke kancah politik yang tidak menentu.

Lebih-lebih lagi dalam keadaan negara masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat ancaman wabak Covid-19, kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, YDPA juga menitahkan agar kesemua masjid di seluruh negara mengadakan solat hajat dan doa selamat memohon ihsan Allah agar penularan wabak Covid-19 dapat dibanteras segera.

Titah Al-Sultan Abdullah itu berikutan penguatkuasaaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB_ di seluruh Sabah, Selangor, Kuala Lumpur serta Putrajaya sekarang serta kewujudan beberapa kluster baharu di Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Labuan.

Lantaran itu, Seri Paduka Baginda menasihati seluruh rakyat untuk terus memainkan peranan masing-masing dan berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard dan tatacara amalan kebiasaan baharu dalam membantu pihak-pihak berkuasa memerangi penularan Covid-19 demi keselamatan diri
dan kesejahteraan negara.

“Mengambil keberkatan sempena hari Jumaat yang mulia ini, Al-Sultan Abdullah turut menyeru seluruh rakyat untuk berdoa semoga negara yang kita cintai bersama ini dikurniakan keamanan dan ketenangan agar kemakmuran dan  kesejahteraan negara serta rakyat sentiasa terjamin,” katanya.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Agong ni mmg bijak dan tegas… Bagus Tuanku demi negara jajahan dan bangsa melayu dan islam kmi sanggup berjuang demi pertahankn tanah air dri diporak peranda kan dan di korupsi dgn puak2 keji ni. Daulat Tuanku.!!

Comments are closed.