KUALA LUMPUR – Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) menggesa rakyat menolak Pakatan Harapan (PH) Plus dengan tidak memberi peluang untuk kembali berkuasa ekoran dakwaan rasuah melibatkan pimpinan dalam komponen parti itu.
Ketua Penerangan DUPP, Mohd Nor Hamzah mendakwa, pimpinan PH sebelum ini berlagak apabila menyuarakan isu untuk memerangi rasuah namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.
Beliau berkata, belum pun reda isu dakwaan rasuah membabitkan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung tuduhan meminta rasuah membabitkan terowong dasar laut di Pulau Pinang, kini satu lagi kes dakwaan rasuah didedah dan dibicarakan melibatkan bekas setiausaha politik bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.
“Di mana suara pejuang dari media PH Plus yang sebelum ini berapi-api dalam memerangi kes dakwaan rasuah namun kini diam membisu seribu bahasa apabila kes yang melibatkan parti mereka sendiri didedahkan?
“Rasuah bukan isu sentimen politik apabila hanya mahu mewujudkan sentimen kebencian sebaliknya, ia isu integriti yang perlu dijaga sama ada sewaktu menjadi pembangkang mahupun kerajaan.” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah Mohd Nor, satu demi satu kes dakwaan rasuah yang dibicarakan jelas menunjukkan kepincangan integriti dan ketelusan PH Plus sewaktu memegang tampuk pemerintahan sama ada di peringkat negeri mahupun Persekutuan.
Ujarnya, sedangkan kuasa politik yang diperolehi merupakan satu amanah yang perlu dilunaskan mengikut etika kerja bagi membawa kebaikan kepada agama, rakyat dan negara bukannya kepentingan peribadi.
“Jika beginilah kesan pemerintahan PH Plus maka semestinya rakyat wajib untuk terus menolak komponen parti PH Plus agar jangan diulangi memberikan kepercayaan dalam mengundi mereka kembali berkuasa.
“Apa yang mereka bisingkan sebelum ini hanya kembali pada diri mereka sendiri.
“Mereka lagaknya mahu memerangi rasuah namun akhirnya dakwaan rasuah itu kembali kepada mereka. Bak kata pepatah Melayu mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih,” katanya.
DUPP katanya menegaskan, rakyat perlu celik dalam isu sebegini agar Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang mereka dapat memastikan kerajaan yang dibentuk mempunyai kriteria integriti yang telus.
Justeru, wajarlah ditolak mana-mana calon parti yang terpalit dengan isu rasuah sekalipun namanya ‘amanah’ tetapi tindakannya tidak pula beramanah. – MalaysiaGazette
Lebai lebai.. Nk kata bodoh x gamak.. Tp tu lah…hampa pon lagi terokk… Bgi rasuah jawtan semua diam semua kena cucuk hidong