Home Politik Ingat penderitaan rakyat, hentikan politiking – Mohamed Nizham

Ingat penderitaan rakyat, hentikan politiking – Mohamed Nizham

Mohammed Nizham Abdullah Hamidi

KUALA LUMPUR – Saban hari hampir setiap masa rakyat Malaysia terus kehilangan kerja berikutan ‘kegilaan’ Covid-19 yang sedang melanda negara.

Malah kini ianya sudah sampai ke tahap gelombang ketiga dan sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah September lepas, angka kes positif pula meningkat dan belum menunjukkan tanda-tanda penurunan sebaliknya peningkatan drastik.

Di kala itu, salah satu kebimbangan yang sering diperlihatkan kebelakangan ini ialah keperitan golongan pekerja industri penerbangan yang mengalami kejatuhan cukup teruk.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi berkata, dirinya cukup terkesan dengan golongan yang kehilangan kerja sehingga memaksa mereka melakukan apa sahaja demi sesuap nasi.

“Ribuan pekerja industri penerbangan termasuk juruterbang hilang kerja, dalam peringkat hilang kerja juga. Sebenarnya-benarnya ini tidak bagus langsung.

“Ada yang kini terpaksa memandu Grab dan tidak berhenti berharap semuanya akan pulih secepat mungkin.

“Pagi tadi saya dimaklumkan salah seorang rakan saya terpaksa dikejarkan ke hospital kerana tekanan darah tinggi sesuatu yang bukan boleh dibuat main,” katanya.

Sambung Mohamed Nizham lagi rata-rata rakyat sudah mula panik, bimbang dan takut memikirkan apakah yang akan berlaku pada masa hadapan.

“Wahai ahli politik di luar sana, tolonglah hentikan semua mengarut anda dan hanya tumpukan sepenuh perhatian kepada kebajikan rakyat kita. Itu yang sebetulnya. Tolonglah.

“Rakyat sudah mula panik dengan keadaan semasa ini yang banyak memberi kesan dalam kehidupan mereka. Mereka juga pada masa sudah muak, bosan dengan tindak  tanduk segelintir ahli politik bercakaran sesama sendiri demi kuasa,” tegasnya. -MalaysiaGazette