PETALING JAYA – Pasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya melaksanakan konsep menasihati orang ramai menghormati Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebelum mengenakan kompaun.
Kali ini kawasan pemantauan tertumpu di perumahan PPR Sri Kayu Ara Damansara yang membabitkan kepadatan penduduk an risiko penularan Covid-17 tinggi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal sendiri hari iniĀ melawat setiap premis di kawasan itu secara bersemuka dengan penduduk.
Beliau juga menasihatkan setiap individu di lokasi supaya tidak mengabaikan SOP antaranya memakai pelitup muka, sentiasa sanitasi tangan dan menjaga penjarakan fizikal.
“Kebanyakan pemantauan kami menyasarkan kawasan perumahan flat yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi di Sri Kayu Ara Damansara ini.
“Mereka cukup baik dan memberi kerjasama mendengar nasihat polis mematuhi SOP walaupun terdapat satu dua orang didapati mengabaikannya.
“Kita mendidik mereka dulu dan kemudian akan kembali dengan tindakan kompaun nanti jika ada yang melanggar pematuhan SOP Covid-19 PKPB,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam operasi sama, sekatan jalan raya dijalankan di beberapa laluan di kawasan perumahan itu iaitu di Jalan Anggerik, Lorog Masjid yang kebanyakannya perumahan kampung berlot dan laluan sempit.
Kedai serbaneka Speedmart sehinggalah restoran makanan dan kedai gunting rambut hampir setiap premis dikunjung oleh Nik Ezanee sebelum memeriksa sama ada pelanggan di dalam supaya memakai pelitup muka dan melaksanakan penjarakan fizikal yang selamat.
Malah MPV polis turut membuat hebahan maklumat pematuhan SOP bahawa PKPB masih berkuatkuasa ekoran kenaikan semula kes Covid-19 dan mewajibkan masyarakat setempat hanya keluar dari rumah jika ada urusan penting melainkan duduk di dalam selain menjaga penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka di luar.
“Kita nasihatkan mereka mengikuti SOP oleh pasukan pertama kita manakala pasukan kedua akan kembali memantau lokasi sama setengah jam kemudian pasukan kedua akan turun memantau semula dengan disusuli kompaun sekiranya masyarakat didapati ingkar nasihat kami.
“Kami fokus kawasan perumahan di Kayu Ara Damansara ini sebab kadar pematuhan SOP agak rendah ini berdasarkan pemantauan kami beberapa hari lepas di kawasan sama.
“Kalau kita perlu buat pantau dua kali sehari pun kita buat, kalau perlu tiga kali atau setiap jam pun kita sanggup demi demi keselamatan masyarakat di daerah saya.
“Kita turunkan 32 anggota termasuk tentera dan empat pegawai polis dengan lima kenderaan MPV dan enam unit bermotosikal,” tegasnya.
Ditanya kenapa memilih kompaun sebagai tindakan kedua sebagai penyelesaian, beliau menjelaskan, pihaknya memahami masyarakat berada dalam keadaan tertekan akibat Covid-19 dan hanya mahu menggunakan pendekatan tegas secara berhemah dan itu pun kepada mereka yang betul-betul tidak mahu mematuhi PKPB.- MalaysiaGazette