KUALA LUMPUR- Seramai sembilan orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ditangkap di Desaru, Johor menerusi Operasi Benteng awal pagi ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen), Tim Quick Reaction Force (QRF) digerakkan setelah menerima maklumat mengenai kehadiran sebuah bot kecil yang menurunkan PATI di sekitar kawasan Tanjung Lompat, Desaru sekitar jam 4 pagi.
Hasil penjejakan dan serbuan, Tim QRF telah berjaya menahan sembilan PATI yang terdiri daripada tiga lelaki dan enam wanita berusia sekitar 21 hingga 43 tahun pada jam kira-kira 4.45 pagi.
Mereka ketika itu sedang bersembunyi di hutan berhampiran pesisir pantai berkenaan dan dipercayai baru tiba ke negara ini melalui laluan yang tidak sah.
“Nilai rampasan keseluruhan tangkapan dianggarkan berjumlah RM17,956.67 melibatkan wang tunai RM3,117.00 dan matawang Indonesia IDR 13,123,200 Rupiah (RM 3,713.23) serta 11 buah telefon bimbit dan beberapa jenis barang kemas.
“Kesemua PATI ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia. Laporan Polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai,”katanya.
Pasukan meneruskan atur gerak Tim QRF bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan.-MalaysiaGazette