KUALA LUMPUR – Perlaksanaan darurat melalui Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) boleh diadakan sebagai langkah kecemasan dan pilihan terakhir perlu dilakukan tanpa pengaruh politik dalam suasana sekarang.
Senator Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah berkata, jika ada yang beranggapan pelaksanaan darurat hanya untuk isu kecemasan, maka isu kesihatan seperti Covid-19 sudah di luar kawalan dengan kehadiran gelombang ketiga yang boleh mengakibatkan ekonomi dan kestabilan negara lumpuh.
“Soal keselamatan negara juga perlu diteliti dengan isu penjualan kad pengenalan, pencerobohan peraian negara dan lain-lain lagi termasuk isu ketidakstabilan politik dan perpaduan negara yang kian rapuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ibrahim juga sudah beberapa kali menyuarakan sebelum ini sekiranya kerajaan sudah tiada jalan lain untuk kekal berkuasa sehingga PRU-15 dan Parlimen perlu dibubarkan selepas usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri (PM) dalam Sidang Dewan Rakyat yang akan datang, maka melaksanakan perintah darurat merupakan jalan terbaik.
Ia bagi membolehkan kerajaan dapat menyelesaikan isu-isu yang penting yang mampu menganggu gugat keselamatan negara sebelum PRU-15.
“Tujuannya adalah untuk membantu PM Interim menjalankan tugas-tugas beliau dengan lebih teratur tanpa diganggu gugat dengan masalah-masalah politik yang bercelaru pada hari ini.
“Pelaksanaan MAGERAN dan sesiapa yang dirasakan layak untuk dilantik sebagai PM Interim haruslah mengikut perancangan dan ketetapan yang dibuat oleh YDPA selaku Ketua Negara dan saya yakin dengan kebijaksanaan Tuanku, negara akan lebih aman, makmur dan sejahtera di bawah pemerintahan Tuanku,” katanya lagi.- MalaysiaGazette