Home Nasional Alasan bercuti, hantar anak balik kampung antara permohonan rentas negeri ditolak

Alasan bercuti, hantar anak balik kampung antara permohonan rentas negeri ditolak

Anggota polis memeriksa surat rentas negeri penumpang bas yang ditetapkan dalam pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan penularan wabak Covid-19 di Plaza Tol Gombak, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 17 OKTOBER 2020.
KUALA LUMPUR – Polis Daerah Gombak menolak 32 permohonan permit merentas negeri yang dikemukakan oleh penduduk setempat dalam tempoh empat hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kerana alasan remeh.
Ketuanya, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, antara alasan yang dikemukakan ialah mahu bercuti di negeri lain, selain mahu menghantar pulang anak ke kampung.
“Itu kita tidak dibenarkan dan tidak dibolehkan untuk bercuti atau melancong di luar kawasan PKPB ini.
“Ada yang mahu menghantar anak balik kampung tanpa tujuan, tanpa kecemasan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan operasi pemantauan Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPB malam tadi.
Anggota polis memeriksa surat rentas negeri penumpang bas yang ditetapkan dalam pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan penularan wabak Covid-19 di Plaza Tol Gombak, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 17 OKTOBER 2020.
Seramai 16 pegawai dan 40 anggota terlibat dalam operasi penguatkuasaan dan pemeriksaan di kawasan perniagaan.
Menurut Arifai, polis hanya membenarkan orang ramai merentas negeri untuk tujuan kecemasan dan disebabkan keperluan mendesak sahaja.
Pihaknya sedia untuk memberi pertimbangan jika alasan sanak saudara terdekat sakit tenat.
Menurut beliau,  sejak PKPB dilaksanakan di daerah itu pada 14 Oktober lalu, pihaknya menerima 1,587 permohonan rentas negeri.
Anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memeriksa pemandu kenderaan ketika melakukan sekatan jalan raya dalam pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan penularan wabak Covid-19 di Plaza Tol Gombak, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 17 OKTOBER 2020.
Daripada jumlah itu, sebanyak 1,555 atau 99.78 peratus permohonan telah diluluskan.
“Kebanyakan permohonan yang diluluskan adalah permohonan merentas negeri untuk tujuan perubatan, kematian, urusan kecemasan dan keperluan lain yang kita rasa perlu dibenarkan.

Menurut Arifai, mereka yang melanggar PKPB akan diambil tindakan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan atau Seksyen 22(b) Akta 342 dan dibaca bersama peraturan 11 PKPB 2020.

Katanya, sepanjang tempoh pelaksanaan PKPB pihaknya telah mengeluarkan 524 kompaun.

Dalam operasi yang dilakukan malam tadi, Arifai turut memeriksa penumpang bas ekspres ke pantai timur bagi memastikan mereka mempunyai permit rentas negeri. – MalaysiaGazette