NEWCASTLE – Pemain Bruno Fernandes dan Harry Maguire menunjukkan taringnya apabila menjadi watak penting kepada kemenangan Manchester United 4-1 ke atas Newcastle, sekaligus mengembalikan pasukan itu ke landasan yang tepat.
Terdahulu, Skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer dimalukan 1-6 oleh Tottenham di Old Trafford sebelum cuti rehat untuk aksi antarabangsa.
Selepas Luke Shaw menjaringkan gol sendiri bagi membolehkan Newcastle mendahului, Maguire yang juga kapten United menyamakan kedudukan.
Perkara itu berlaku beberapa hari selepas dia menerima kritikan hebat susulan dilayangkan kad merah ketika beraksi bersama England pada aksi Liga Negara-Negara UEFA ketika bertemu Denmark di Wembley.
Fernandes menebus kehampaan gagal menyempurnakan sepakan penalti pada babak kedua apabila menjaringkan gol pada minit ke-86 untuk meletakkan United di depan.
Aaron Wan-Bissaka menjadikan kedudukan 3-1 menerusi gol pertamanya untuk United empat minit kemudian sebelum Marcus Rashford menambah gol keempat pada minit keenam masa kecederaan.
“Keputusan yang bagus dan karakter cemerlang untuk bangkit semula diketuai oleh kapten.
“Harry menjaringkan gol dan menjadi contoh kebangkitan rakan sepasukan lain. Dia menunjukkan karakter yang bagus dan saya gembira dengan prestasinya.
“Dia berdepan kesukaran sejak beberapa minggu lalu.
“Bagi kami, musim ini hanya bermula hari ini apabila pemain menunjukkan prestasi sebenar,” kata Solskjaer.
Solskjaer melakukan lima pertukaran berbanding ketika tewas kepada Tottenham apabila Eric Bailly, Nemanja Matic, Paul Pogba, Mason Greenwood dan Anthony Martial digantikan oleh Victor Lindelof, Scott McTominay, Fred, Daniel James dan Juan Mata. – MalaysiaGazette