Home Politik Henti fitnah MCA atau berdepan dengan tindakan undang-undang – Ka Siong

Henti fitnah MCA atau berdepan dengan tindakan undang-undang – Ka Siong

Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mencabar Lim Kit Siang supaya membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi Multi Media (SKMM) berhubung laporan berita portal yang mengaitkan kerjasama Penasihat DAP itu dengan Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional.

Malah, Ka Siong turut mengingatkan Kit Siang dan Wong Shu Qi supaya menghentikan fitnah terhadap MCA atau berdepan tindakan undang-undang.

Mengulas mengenai laporan portal berkenaan, Presiden MCA itu mengakui pemegang saham terbesar portal The Coverage iaitu Shen Yee Aun pernah menjadi penyokong kepada Presiden MCA pada tahun 2013.

Tetapi Shen bukan ahli MCA dan tidak pernah menyertai parti berkenaan.

Sebaliknya, dakwa beliau, Shen merupakan seorang ahli DAP dan pemimpin sayap pemuda DAP.

Malah, Shen juga adalah bekas Setiausaha Eksekutif Kebangsaan Pemuda DAP (DAPSY) dan Ketua DAPSY Klang.

Oleh itu, Ka Siong mempersoalkan mengapa Kit Siang dan Ahli Parlimen DAP Kluang melabelkan The Coverage sebagai laman web yang berkaitan dengan MCA atau portal propaganda MCA.

Sedangkan portal ini jugalah yang telah cuba merosakkan reputasi MCA pada minggu lalu apabila mengitar semula berita-berita lama berkaitan UMNO dan parti itu.

”Jika benar dakwaan Lim Kit Siang, kenapa pula “laman web yang berkait dengan MCA” ini perlu menyerang MCA?,” soal Ka Siong lagi.

Baru-baru ini, Kit Siang mendakwa laporan The Coverage yang telah menggunakan satu laporan yang diterbitkan empat tahun lalu untuk mewujudkan tanggapan salah bahawa beliau menyokong kerjasama DAP dengan Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk membentuk sebuah kerajaan baharu bagi menggantikan kerajaan pintu belakang Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penasihat DAP itu berkata, laporan jahat The Coverage ini telah tular di media sosial, memberikan gambaran palsu yang beliau mahu DAP bekerjasama dengan Najib dan Zahid untuk menjatuhkan Muhyiddin.

Namun, katanya, penyokong setia DAP tahu yang pemimpin parti itu tidak akan berkompromi dengan integriti dan prinsip mereka untuk bekerjasama dengan kleptokrat.

Kit Siang berkata, beliau berterima kasih kepada Ahli Parlimen DAP Kluang yang telah mengenal pasti siapa pemilik portal berkenaan.

”Menarik untuk disiasat mengapa laman web berkaitan MCA ini juga cuba untuk memberikan gambaran salah yang DAP ini seakan-akan serupa dengan MCA dan bersedia untuk bekerjasama dengan Najib,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri. – MalaysiaGazette