KUALA LUMPUR – Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah, Abdul Rani Kulup mendesak pemilik akaun Facebook. Ganesparan Nadarajah agar memohon maaf berhubung satu kenyataan menghasut membabitkan seorang lelaki dalam satu rakaman video yang tular di media sosial baru-baru ini.
Atas desakan itu, satu laporan polis dibuat Abdul Rani terhadap individu berkenaan bagi mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera bertindak terhadap keceluparan lelaki itu.
“Kalau dia tidak suka duduk Malaysia, jangan duduk disini, duduk di negara lain.
“Tidak kira apa bangsa sekalipun, jangankan naikkan sentimen perkauman, agama dan jangan usik institusi beraja negara. Kita semua rakyat Malaysia ini dipayungi oleh Raja-raja Melayu.
“Saya gesa dia minta maaf kalau tidak buat demikian, saya gesa PDRM, SKMM supaya siasat dan buang kerakyatan kerana dia telah mencetuskan pergeseran kaum di negara ini,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Dearah Dang Wangi, hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Rani turut menggesa agar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) melakukan siasatan terhadap video yang tular itu.
“Dia sokong Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri agar dapat ubah sistem pentadbiran Malaysia. Tapi Nadarajah kata kalau dia jadi Perdana Menteri, empat hari sahaja dia akan ubah segala pentadbiran dan institusi beraja di negara ini.
“SKMM siasat ke akar umbi siapa di belakang individu itu. Mesti ada yang suruh dan biaya dia.
“Kalau luar negara, cukup senang antara negara ada kerjasama dan cari sampai dapat,” kata beliau lagi.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung kenyataan itu.
Video berdurasi 1 minit 33 saat itu mempunyai kecenderungan menghasut terhadap raja dan kerajaan.
Siasatan awal polis mendapati lelaki itu berada di luar negara sejak November 2017, malah suspek turut dikehendaki untuk tiga kes lain berkaitan ugutan dan hasutan.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mendatangkan kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana raja atau kerajaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian. – MalaysiaGazette