KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berpangkat Datuk ditahan kerana disyaki menyamar sebagai pegawai kanan polis Bukit Aman untuk menyelesaikan pinjaman along, Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata suspek berusia 43 tahun itu ditahan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) kira-kira 11.15 pagi, susulan penahanan seorang lelaki yang disyaki along berusia 36 tahun pada 12 Okt lepas di Cheras.
Katanya kedua-dua tangkapan dibuat berikutan laporan daripada seorang peniaga lelaki berusia 40 tahun pada 4 Okt lalu.
Katanya, peniaga itu telah berkenalan dengan lelaki berpangkat Datuk tersebut yang memperkenalkan diri sebagai seorang pegawai kanan polis dari Bukit Aman dan suspek menawarkan diri untuk membantu mangsa dengan menghubungi seorang lelaki tempatan yang dipercayai along yang memberikan pinjaman terbabit.
“Suspek telah berbincang dengan along itu kononnya suspek akan menyelesaikan hutang mangsa. Suspek telah menghubungi peniaga itu memberitahu bahawa segala urusan pembayaran hutangnya mestilah melaluinya. Mangsa menyerahkan wang sebanyak RM60,000 kepada suspek untuk melangsaikan hutangnya,” katanya.
Siasatan mendapati suspek yang bergelar Datuk itu mempunyai empat rekod jenayah lampau membabitkan kes tipu di Selangor dan Kuala Lumpur serta memiliki syarikat keselamatan.
Seorang lagi suspek disyaki terlibat dengan aktiviti kongsi gelap.
Katanya kedua-dua suspek direman masing-masing tiga dan tujuh hari serta kes disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang Berlesen 1952, Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.
— BERNAMA