KUALA LUMPUR – Penggunaan helmet pengimbas suhu yang diperkenalkan oleh KTM Berhad (KTMB) sejak minggu lalu diterima baik dalam kalangan penumpang perkhidmatan pengangkutan darat itu.
Rata-rata pengguna melahirkan berasa selamat menggunakan perkhidmatan KTM kerana penggunaan helmet pengimbas suhu berkenaan mengesahkan para penumpang yang berada di sekitar stesen dan di dalam koc bebas gejala Covid-19.
Ketua Komunikasi Korporat KTMB, Ahmad Asri Kalbi berkata, syarikat tersebut dalam tempoh percubaan menggunakan helmat pengimbas itu bagi menilai keberkesan dan kesesuaian penggunaannya kepada anggota polis bantuan.
Helmet pengimbas suhu ini dipakai oleh anggota polis bantuan ketika membuat rondaan di stesen tren bagi memastikan setiap penumpangnya bebas daripada gejala Covid-19.
Pada masa ini, ia digunakan untuk di dalam tren dan di kawasan platform.
“Helmet itu mempunyai ketepatan membaca suhu 99.9% dari jarak dua hingga tiga meter. Jadi, ia memudahkan tugas polis bantuan untuk melakukan pemeriksaan tanpa perlu berada terlalu hampir dengan penumpang,” katanya.
Ahmad Asri berkata, setiap penumpang KTM akan melalui dua proses saringan suhu – semasa memasuki kawasan stesen dan semasa rondaan polis bantuan.
“Percubaan helmet pengimbas suhu ini adalah salah satu kaedah yang sedang dinilai oleh KTMB dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan penumpang diberi keutamaan,” ujarnya.
Setakat ini, helmet tersebut digunakan di stesen KTM di KL Sentral dan jika ada keperluan penggunaannya akan diperluas di stesen-stesen lain di Seremban, Negeri Sembilan; Ipoh, Perak dan Butterwoth, Pulau Pinang.
Ahmad Asri menambah, KTMB berharap penggunaan alat teknologi itu dapat meningkatkan keyakinan para penumpang untuk terus menggunakan perkhidmatannya tanpa rasa ragu-ragu. – MalaysiaGazette