Home Nasional Tahap pencemaran bau tak konsisten, LRA Sg Selangor belum boleh beroperasi

Tahap pencemaran bau tak konsisten, LRA Sg Selangor belum boleh beroperasi

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan bahawa Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) terpaksa dihenti tugas separa untuk kerja-kerja pembaikan.

KUALA LUMPUR – Sehingga kini, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1,2, 3 dan LRA Rantau Panjang masih belum beroperasi ekoran insiden pencemaran air mentah di Sungai Selangor.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman, ini kerana tahap pencemaran bau di tersebut tidak konsisten.

“Sehingga jam 2 petang, tahap pencemaran bau di Sungai Selangor berada pada tahap 0 TON dan bacaan masih tidak konsisten pada tahap 0 TON apabila diuji sebanyak tiga kali berturut-turut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Henti tugas itu ujarnya telah menyebabkan Air Selangor tidak dapat menghasilkan air sebanyak 2,700 juta liter sehari untuk dibekalkan kepada para pengguna di 1,292 kawasan.

Katanya lagi, sebanyak 91 lori tangki telah digerakkan ke premis-premis kritikal serta kawasan perumahan yang terjejas manakala 17 Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan 21 pili awam juga disediakan untuk kemudahan para pengguna yang terjejas.

Air Selangor turut  menyarankan kepada para pengguna untuk mengambil bekalan air bersih di pili-pili awam kerana bantuan melalui lori-lori tangki air diutamakan kepada premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.

Pencemaran bau seolah-olah bahan kimia sylvan adalah punca utama LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas sejak 2 pagi tadi.-MalaysiaGazette