Home Politik Tiada rombakan Kabinet, tunggulah Rabu ini…

Tiada rombakan Kabinet, tunggulah Rabu ini…

Menurut sumber MalaysiaGazette yang enggan dinamakan, tidak ada apa-apa rombakan hari ini mahupun pada masa terdekat ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sejak beberapa lepas kecoh konon akan ada pertukaran kerajaan, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Presiden PKR itu mendakwa mendapat sokongan besar untuk menjadi Perdana Menteri.

Terbaharu kononnya pagi ini berkemungkinan adanya rombakan Kabinet hasil ‘rundingan’ beberapa pemimpin Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun apa sahaja keputusan berhubung sokongan kepada Perdana Menteri, pertukaran kerajaan mahu pun syarat terbaru yang dikenakan serta pendaftaran Muafakat Nasional (MN) hanya akan diketahui selepas Rabu ini.

Ini kerana hari ini MN duduk semeja berbincang hala tuju bentuk kerjasama antara UMNO, Bersatu dan Pas.

Sebelum ini Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan ada mendedahkan beliau akan membawa agenda pendaftaran MN sebagai gabungan yang sah seperti yang dibincakan dalam Mesyuarat Biro Politik UMNO minggu lepas.

Petang esok pula, sekitar jam 3 petang Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO akan berlangsung secara bersemuka di satu lokasi di Pahang.

MT Khamis lepas yang pada awalnya telah dicadangkan melalui sidang video tidak diterima segelintir pemimpin sebaliknya mahu ia di adakan secara bersemuka.

Antara intipati kandungan yang bakal dibincangkan termasuklah isu sokongan terhadap Awnar atau Tan Sri Muhyiddin Yassin serta kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Hanya selepas itu hasil perbincangan, keputusan dan ‘syarat’ itu akan kemudian dihantar kepada Muhyiddin untuk tindakan selanjutnya.

Maka persoalan apakah yang akan berlaku itu hanya akan dapat diketahui selepas Rabu ini selepas semua pihak mendedahkan apakah sebenarnya perbincangan mesyuarat serta yang dibuat hasil rundingan itu.

Menurut sumber MalaysiaGazette yang enggan dinamakan, tidak ada apa-apa rombakan hari ini mahupun pada masa terdekat ini.

“Rombakan Kabinet apa? Apa keperluan untuk merombak Kabinet ketika ini? Kerajaan yang sedang diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri masih berjalan dengan baik, menteri dan timbalan menteri dalam Kabinet semuanya okay dan tidak ada apa-apa perubahan  setakat ini.

“Lagi pun Kabinet ini masih baharu lagi, kenapa hendak tukar-tukar?

“Lagi teruk ketika kita berada dalam keadaan gelombang ketiga pandemik Covid-19, kita perluKkabinet ini bekerja bukan main politik.

“Benar ada satu dua yang mahu ‘perubahan’ sana sini, beri syarat bagai tetapi Tan Sri Muhyiddin merasakan tidak ada keperluan untuk apa-apa rombakan lagi. Ini Kabinet yang belum sampai tempoh setahun lagi, atas alasan apa hendak rombak?

“Sudahlah, tidak cukup dengan ada pemimpin tamak gila kuasa hendak buat rampasan kuasa ketika pandemik, sekarang mahu rombakan Kabinet pula? Tidak ada semua itu, kita hendak fokus dulu Covid-19 dan itu juga kehendak rakyat,” kata sumber itu.

Dakwa sumber itu, Muhyiddin tidak akan mengalah kepada tuntutan pihak tertentu yang dikatakan hanya akan memberikan sokongan padu kepada Perdana Menteri jika tuntutan mereka dipenuhi.

“Memang kita ada dengar macam-macam tapi saya hendak cakap, Tan Sri Muhyiddin tidak akan tunduk kepada tuntutan begitu sahaja, itu yang pasti.

“Kita tunggu hasil mesyuarat nanti,” tegasnya. -MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.