KUALA LUMPUR- Perebutan teman wanita dengan rakan serumah berakhir kepada tragedi apabila seorang pelajar Nigeria mati dibunuh.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Seri Saiful Azly Kamaruddin berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada 23 September lalu.
Katanya, selepas bergegas ke lokasi kejadian di sebuah kondominium di Jalan Kuching, pihaknya menemui mayat mangsa berusia 36 tahun di dalam seunit rumah sewa.
“Kita hantar mayat ke hospital untuk proses bedah siasat dan hasilnya mendedahkan terdapat kecederaan pada leher, pipi dan tangan si mati sebelum kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh.
“Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Daerah Sentul memulakan siasatan terperinci selama dua minggu menerusi risikan dan pengumpulan maklumat sebelum berjaya menahan seorang warga Nigeria yang juga pelajar dipercayai rakan serumah si mati pada 6 Oktober lalu di hadapan kedutaan Nigeria di ibu negara,” katanya dalam sidang media khas kejayaan bersama Ketua Polis Daerahnya Asisten Komisioner Shanmugamoorthy di Jalan Ipoh hari ini.
Tambah Saiful Azly, berdasarkan tangkapan suspek pertama itu telah memberi petunjuk kepada seorang lagi rakannya seorang wanita warga tempatan berusia lewat 30-an.
Siasatan dilengkapkan oleh JSJ Sentul dengan segala bukti yang diperlukan dan seorang suspek lelaki Nigeria berusia 34 tahun yang juga pelajar institusi pendidikan swasta negara ini dituduh di mahkamah pda 13 Oktober lalu bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Namun katanya, wanita tempatan itu dibebaskan dengan jaminan polis di bawah 118 Kanun Prosedur Jenayah.
“Kes ini menarik sebab apabila kita mengkaji dan siasat secara mendalam kenapa rakan sendiri membunuhnya, kita dapati berlaku pertelingkahan faham sesama mereka membabitkan perebutan teman wanita warga Malaysia itu dan kita juga menemui minuman alkohol dalam bilik kejadian itu.
“Terima kasih kepada Kedutaan Nigeria kerana memberi kerjasama penuh untuk polis mengesan dan menangkap suspek walaupun menyedari suspek adalah rakyatnya dan cuba dapatkan perlindungan untuk mengelak ditangkap.
“Tiada penggunaan senjata dia hanya tumbuk dan mencakar menyebabkan mangsa mati dan suspek menuntut di IPT swasta di sini selama tujuh tahun dan wanita berkenaan pula hanya datang dan pergi ke kediaman suspek,” tegasnya.-MalaysiaGazette