BESTARI JAYA – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bercadang untuk mewujudkan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) sebagai sumber bekalan air mentah alternatif kepada loji rawatan air tanpa jika berlaku pencemaran sungai.
Menterinya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia bagi memastikan loji rawatan air terus beroperasi tanpa perlu melakukan henti tugas dan menyalurkan bekalan air bersih kepada hampir 5 juta pengguna di Lembah Klang.
“Untuk jangka masa panjang, pihak kementerian telah pun masukkan TAPS dalam RMK12, kita akan jadikan sebahai alternatif, bila berlaku pencemaran, kita boleh ambil sumber air kedua daripada TAPS.
“Sekurang-kurangnya (dapat teruskan operasi) beberapa jam hingga hilang bau sebelum kita ambil balik ke sumber asal,” katanya pada sidang media di Muka Sauk Sungai Selangor Fasa II hari ini.
Menurutnya, TAPS dijangka mampu membekalkan sumber air mentah kepada Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Sungai Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang sekurang-kurangnya tujuh hari jika berlaku pencemaran air sungai.
“Malah kalau berlaku pencemaran sungai, kita masih boleh bekalkan air kepada pengguna sehingga tempoh 14 hari.
“Sumber alternatif ini sangat penting, itu perancangan kementerian untuk masa depan.
“Jadi alternatifnya kita akan banyakkan TAPS, bila berlaku pencemaran kita akan ambil air dari TAPS supaya pengguna tidak akan terjejas,” jelasnya.
Sementara itu, KASA juga akan berbincang dengan Kerajaan Negeri Selangor untuk meningkatkan kadar reserved margin bekalan air sedia ada bagi membolehkan bekalan air tidak terjejas.
“Reseved Margin di Selangor in ketika ini ada satu peratus, kalau ia ditingkatkan sikit kepada 20 hingga 25 peratus. Kalau berlaku insiden, kita ada simpanan bekalan dan masih boleh teruskan bekalan air,” katanya lagi. – MalaysiaGazette